Bom tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui di Sungai Segama

Bom tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui di Sungai Segama

am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Sebutir bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui seorang lelaki ketika menjala ikan di tebing Sungai Segama, di sini, hari ini.

Bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb itu ditemui kira-kira jam 10 pagi sebelum lelaki tempatan berusia 52 tahun itu melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Haji Ismail berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bom itu berukuran 30 sentimeter panjang dengan ukur lilit 40 sentimeter dengan berat 226 kilogram.

“Siasatan lanjut oleh Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengesahkan bom berkenaan dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua buatan British.

“Objek berbahaya itu ditemui oleh seorang lelaki ketika menjala ikan, sebelum memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kawasan penemuan kini dikawal sementara menunggu tindakan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah bagi tujuan pemusnahan.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top