Bomba agih 150 bot komuniti, bantu segerakan penyelamatan mangsa banjir

Bomba agih 150 bot komuniti, bantu segerakan penyelamatan mangsa banjir

am@hmetro.com.my

Seremban: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mula mengagihkan 150 bot komuniti di seluruh negara bernilai RM1.8 juta bagi tujuan menyegerakan penyelamatan mangsa banjir di peringkat awal.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata JBPM mengenal pasti organisasi berkemampuan bagi tujuan penerimaan bot baharu berkenaan dan akan membuat penyerahan kepada penerima yang layak secara berperingkat mulai hari ini.

“Kementerian melalui JBPM selesai membuat perolehan bot beserta aksesori untuk penyelamatan komuniti yang dibuat melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Roling Plan Ketiga 2023 (RP3).

“Bot ini bertujuan bagi memudahkan dan menyegerakan gerak kerja penyelamatan mangsa banjir di peringkat awal oleh komuniti setempat ke lokasi yang selamat,” katanya kepada media di sini, petang ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Kempen Keselamatan Aktiviti Di Air Sempena Sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia 2025, di D’Tempat Country Resort, Sendayan.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Pengarah JBPM negeri, Nor Arifin Kamari.

Aiman Athirah berkata, statistik JBPM merekodkan sebanyak 1,359 kematian akibat lemas dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024 dengan purata insiden itu dalam setahun adalah sebanyak 272 kematian.

Beliau berkata, secara kuantitatif, angka kematian akibat lemas ini ternyata jauh lebih tinggi berbanding kematian yang diakibatkan oleh insiden kebakaran.

“Apa yang membimbangkan, ramai mangsa adalah golongan muda dan kanak-kanak yang kurang pendedahan tentang risiko dan langkah keselamatan semasa menjalankan aktiviti di air.

“Dua kumpulan umur berisiko tinggi iaitu 20 hingga 39 tahun dan tujuh hingga 19 tahun, yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu masing-masing 36 dan 30 peratus daripada keseluruhan angka kematian.

“Justeru, program seperti hari ini amat relevan dan perlu diperluaskan, bukan sahaja di kawasan tumpuan pelancong dan badan air komersial, tetapi juga di kampung serta kawasan pedalaman yang berhampiran kawasan takungan air semulajadi seperti sungai, tasik dan jeram,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata JBPM mengambil sentiasa langkah proaktif memantau kawasan riadah tumpuan (hotspot) yang sering terdedah kepada kejadian lemas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top