am@hmetro.com.my
Kuching: Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk mengangkat seorang lelaki obesiti dengan berat badan 150 kilogram (kg), yang pitam di sebuah restoran di Jalan Datuk Racha Umong, Lawas di utara Sarawak, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang selepas KKM gagal membawa lelaki itu turun dari tingkat satu restoran berkenaan.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang lelaki obesiti dalam keadaan pitam sedang dirawat oleh pegawai perubatan dari Hospital Lawas.
“Pasukan operasi segera bertindak dengan membantu memindahkan mangsa dari tingkat satu ke tingkat bawah bangunan restoran menggunakan pengusung,” katanya.
Menurutnya, selepas berjaya dipindahkan, lelaki itu kemudiannya dimasukkan ke dalam ambulans KKM dan dihantar ke Hospital Lawas untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




