Bomba 'berperang' padam api di Gunung Inas hampir 10 jam

Bomba 'berperang' padam api di Gunung Inas hampir 10 jam

am@hmetro.com.my

Baling: Bomba mengambil masa kira-kira 10 jam untuk memadam kebakaran yang berlaku di Gunung Inas, sejak pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.35 pagi tadi berhubung kebakaran yang berlaku di gunung berkenaan.

Beliau yang mengetuai operasi itu bersama 20 anggota tiba di lokasi kebakaran di Gunung Inas dan berjaya mengawal kebakaran yang berlaku itu.

“Keluasan lokasi yang terbakar itu dianggarkan tiga hektar.

“Kami turut berdepan cabaran angin kencang selain cuaca panas yang menyebabkan api merebak dengan cepat tetapi berjaya dikawal, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, hasil tindakan operasi secara bersepadu itu, anggotanya menggunakan teknik fire break bagi api belukar, tunggul kayu dan hutan di gunung berketinggian 1,801 meter itu.

Katanya, selain itu, cabaran utama anggota mendaki hutan simpan gunung itu disebabkan kecerunan menegak dan bercuram yang berisiko kepada anggota untuk melakukan pemadaman serta permukaan gunung berbatu dan tanah kering yang terlerai.

“Operasi tamat pada jam 5.35 petang. Makluman dari penduduk tempatan, gunung ini mudah diakses oleh pencari madu dan kegiatan menahan burung.

“Kita tidak menolak kebarangkalian kebakaran ini disebabkan puntung rokok yang masih menyala serta obor api yang digunakan mengasap lebah yang ditinggalkan tanpa kawalan, ” katanya.

Sehubungan itu, pihak bomba meminta segala aktiviti berkaitan di gunung itu ditangguhkan dahulu ketika faktor cuaca dan kering yang memberikan ancaman risiko keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top