am@hmetro.com.my
Klang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menggali secara manual bagi mengeluarkan mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, hari ini.
Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kerja-kerja mencari mangsa ini dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) , RELA, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan penduduk sekitar.
“Usaha pencarian dilakukan oleh pihak bomba dengan menggunakan kaedah ‘sweeping’ dalam jarak 800 meter daripada cebisan sayap pesawat sehingga ke bangkai utama pesawat yang dipercayai terjunam 45 peratus ketika penerbangan.
“Bomba juga menggunakan kaedah penggalian secara manual dengan bantuan jentera berat berdasarkan cebisan-cebisan mayat yang ditemui di sekitar bangkai pesawat.
“Pada jam 7.06 malam, mangsa pertama yang berada di dalam kokpit pesawat pada ke dalaman lima kaki (kira-kira 1.5 meter) di dalam tanah berjaya dibawa keluar oleh bomba dan mangsa kedua pula pada jam 7.17 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Md Razali berkata, kekuatan keanggotaan JBPM adalah seramai 15 pegawai kanan dan 23 pegawai bomba lain-lain pangkat.
Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang terkorban dalam nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar.
Beliau berkata, mangsa yang terbabit adalah warga tempatan iaitu Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




