bhnews@bh.com.my
MANJUNG: Jabatan dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, akan melakukan pemantauan di darat dan di laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku ketika fenomena air surut sepenuhnya di Pulau Pangkor yang menjadi tumpuan ramai.
Fenomena unik itu berlaku setiap tahun pada Februari dan musim perayaan Tahun Baharu Cina membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah pada jarak 400 meter dengan hanya berjalan kaki.
Ketua Zon 3 Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata fenomena itu menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar pulau peranginan berkenaan yang mengambil kesempatan merasai pengalaman merentas lautan itu.
Beliau berkata, pihaknya melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkor sentiasa bersiap sedia dan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan termasuk operator rekreasi pantai bagi memastikan keadaan di lokasi terkawal pada hari berkenaan.
“Kita mendapat maklumat daripada Jabatan Laut dalam tempoh minggu kedua Februari dijangka ada satu hari yang air akan surut sehingga boleh berjalan kaki dari Teluk Nipah ke Pulau Giam.
“Justeru kita akan melakukan pemantauan di laut menggunakan dua bot dengan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pangkor.
“Di darat kita akan bersedia dengan peralatan menyelamat di permukaan sebagai tindakan alternatif untuk fenomena ini,” katanya selepas melakukan pemeriksaan bangunan pada musim perayaan Tahun Baru Cina bagi tujuan menghapuskan bahaya kebakaran, hari ini.
Shazlean, pihaknya juga menyokong sepenuhnya sektor pelancongan, namun berharap pengunjung dan penduduk setempat dapat mematuhi arahan keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti.
“Kita tidak ada kuasa untuk menghalang mereka pergi ke sana (berjalan kaki ke Pulau Giam) tetapi orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.
“Tindakan pengunjung yang tidak mengikut dan mematuhi serta tahu jadual air pasang surut boleh mendatangkan risiko kepada mereka (kerana air surut mempunyai had tempoh).
“Jadi perlu sentiasa waspada dan memeriksa jadual selain memakai jaket keselamatan serta boleh menempah bot (jika air mula pasang pada waktu mahu pulang ke darat),” katanya.
Menurutnya, pihaknya merekodkan dua kes lemas di pulau berkenaan dalam tempoh dua tahun iaitu satu kes di Pulau Giam, Pantai Teluk Nipah pada Februari 2020, manakala satu kes lagi di sebuah pelantar pada Jun tahun lalu.
Sementara itu, Shazlean berkata, pihaknya menyasarkan pemeriksaan 510 premis seperti perniagaan dan jabatan kerajaan di daerah ini bagi pemeriksaan keselamatan bangunan pada tahun ini.
“Pada tahun lalu, kita melakukan pemeriksaan ke atas 318 premis dan mengeluarkan notis kepada 80 premis, kebanyakannya berkaitan tempoh luput alat pemadam api dan laluan keluar yang tidak mengikut prosuder operasi standard (SOP).
“Lima permis dikenakan tindakan pendakwaan kerana tidak mematuhi syarat kebombaan. Untuk pemeriksaan hari ini kita mendapati semua peralatan dalam keadaan berfungsi dengan baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




