Bomba sahkan kebakaran korbankan dua nyawa di Butterworth perbuatan khianat

Bomba sahkan kebakaran korbankan dua nyawa di Butterworth perbuatan khianat

am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan kejadian kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Butterworth, 10 Disember lalu, adalah perbuatan khianat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya sudah menyerahkan laporan lengkap siasatan kepada polis berhubung kejadian.

“Kita sudah lengkapkan siasatan berhubung kejadian itu dan laporan itu juga sudah diserah kepada polis awal Januari lalu bagi tindakan lanjut.

“Dalam siasatan itu didapati memang sengaja dibakar, jadi kita serah kepada polis bagi tindakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Ops Siaga Raya 2026 Sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa H’ng Mooi Lye.

Terdahulu media melaporkan wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran dalam kejadian pada jam 9.41 pagi membabitkan sebuah rumah berkembar.

Mangsa, Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkatnya, Andra, 5, ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama.

Susulan itu, polis menahan anak lelaki kepada wanita terbabit yang berusia 20-an.

Kes yang awalnya diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lanjut, Mohamad Shoki berkata, seramai 670 pegawai dan anggota akan bertugas sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina.

“Ia bagi memastikan kesiapsiagaan JBPM dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang sering berlaku semasa musim perayaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top