Bomba selamat 5 penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah terperangkap di tengah sungai

Bomba selamat 5 penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah terperangkap di tengah sungai

zahratulhayat@nst.com.my

Tanjung Malim: Lima penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah di sini, diselamatkan selepas terperangkap di atas batu di tengah sungai di Kampung Sungai Dara apabila paras air naik secara tiba-tiba.

Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.54 petang sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Tanjung Malim dan Slim River digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kesemua penuntut lelaki berusia 21 tahun itu terperangkap selepas paras air sungai naik mendadak ketika sedang mandi.

“Mereka sempat memanjat ke atas seketul batu di tengah sungai, namun tidak dapat kembali ke tebing kerana arus terlalu kuat.

“Pasukan kami melakukan penilaian situasi sebelum mengarahkan anggota memakai kelengkapan alat apungan peribadi (personal flotation device) sepenuhnya sebelum operasi menyelamat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba berjaya menyelamatkan mangsa secara berperingkat dengan menggunakan tali, beg lontar, dan teknik menyeberangi sungai.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya sambil memaklumkan kesemua mereka berjaya dibawa ke tebing dengan selamat pada jam 8.35 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top