Seorang pesakit kanser otak dikenali sebagai Che Intan Md Zain, 62, mengakui kehidupannya musnah dalam sekelip mata selepas terpedaya dengan seorang bomoh di Titi Gajah yang dikatakan mampu merawat penyakitnya itu.
Sebagai seorang pesakit kanser otak yang berjuang sejak 2011, pengalaman ditipu dengan bomoh itu menjadi luka yang sehingga kini sukar untuk sembuh.
Gara-gara takut untuk mendapatkan rawatan hospital yang dianggap prosedur itu menyakitkan, Che Intan sanggup mencari alternatif lain dengan mengikut segala arahan bomoh tersebut tanpa menyangka ia akan membawa lebih banyak kesengsaraan.
“Saya dimandikan dengan tujuh jenis bunga, termasuk buah pala selama tujuh hari. Saya juga disuruh mencari hati burung mati bercinta dan kain kapan orang yang meninggal pada hari Selasa.
“Namun, kerana tidak mampu mendapatkan semua itu, saya menyerahkan wang simpanan dan hasil jualan rumah berjumlah lebih RM60,000 kepada bomoh tersebut,” katanya.
Namun, keadaannya bukan sahaja tidak bertambah baik, malah semakin teruk tanpa rawatan yang sewajarnya, kanser terus merebak sehingga menyebabkan penglihatannya kabur.
“Saya menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang untuk membuang tumor di sebelah kiri otak serta menjalani imbasan CT scan dan MRI. Tetapi selepas itu, kesihatan saya semakin merosot, tumor semakin membesar dan penglihatan bertambah kabur,” luahnya.
Akibat kehilangan segala-galanya, Che Intan kini menumpang di rumah ibunya, Hatijah Long, 86, yang turut uzur.
“Saya malu dengan semua orang, termasuk ahli keluarga. Suami saya, Maznan Mohd Din, 62, dahulunya bekerja sebagai pengawal keselamatan, tetapi kini tidak lagi bekerja kerana faktor usia.
“Kami mempunyai seorang anak lelaki berusia 33 tahun yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala anak angkat kami yang berusia 16 tahun masih tinggal bersama,” katanya.
Sumber, Kredit foto: Harian Metro