Bomoh rapat dengan isteri bekas Presiden Korea Selatan didakwa terima rasuah

Bomoh rapat dengan isteri bekas Presiden Korea Selatan didakwa terima rasuah

Seoul: Seorang bomoh yang mempunyai kaitan rapat dengan bekas wanita pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee, didakwa kerana menerima rasuah. Bayaran itu dibuat bagi mendapatkan pelbagai faedah untuk Gereja Unification, perniagaan dan ahli politik.

Jeon Seong-bae, dikenali sebagai Geonjin, didakwa dengan penahanan fizikal atas pelanggaran Akta Dana Politik dan undang-undang pengambilan rasuah untuk pengantaraan, kata pasukan pendakwa khas Min Joong-ki.

Jeon, yang ditahan sejak 21 Ogos, menghadapi pertuduhan bersekongkol dengan bekas wanita pertama dan didakwa menerima kalung berlian, dua beg Chanel dan hadiah lain bernilai 80 juta won (US$57,000) dari seorang pegawai Gereja Unification pada 2022.

Hadiah itu diserahkan kepada Kim bersama permintaan faedah dari pentadbiran suaminya, Yoon Suk Yeol berkaitan beberapa projek yang digerakkan oleh Gereja, menurut pendakwaan oleh pendakwa khas.

Bomoh itu juga dituduh meminta jawatan penasihat di Gereja dan menerima bayaran berjumlah 30 juta won sebagai pertukaran untuk pengantaraannya.

Dalam kes berasingan, Jeon didakwa menerima hadiah dan faedah bernilai 45 juta won dari sebuah syarikat. Ia berlangsung dari 2022 sehingga awal tahun ini. Bayaran itu sebagai balasan untuk meminta bantuan dalam siasatan cukai dan kes jenayah firma itu.

Beliau juga didakwa menerima 160 juta won dari syarikat berlainan dari 2022 hingga 2023 sebagai balasan untuk meminta faedah perniagaan bagi pihak syarikat.

Sementara itu, menjelang pilihan raya tempatan Jun 2022, Jeon didakwa menerima 100 juta won dari seorang calon yang kini ahli dewan undangan wilayah Gyeongsang Utara. Ia sebagai pertukaran untuk membantunya mendapatkan pencalonan dari People Power Party (PPP) yang ketika itu parti pemerintah.

Pasukan pendakwa khas menyatakan, mereka akan meneruskan siasatan lain melibatkan bomoh itu termasuk pembabitannya yang disyaki dalam kempen merekrut ahli Gereja Unification sebagai anggota PPP.

Usaha ini untuk menyokong Kweon Seong-dong sebagai pemimpin parti dalam konvensyen kebangsaan Mac 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top