Usahawan terkenal, Bonda Rozita Ibrahim mendedahkan dirinya telah membeli dua ekor anjing baka K9 jenis German Shepherd khusus bagi tujuan keselamatan ladang miliknya yang terletak di kawasan puncak hutan.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG) miliknya, Bonda menyifatkan dua ekor anjing tersebut adalah ‘pengawal’ terbaik yang pernah dimilikinya.
“Saya sebenarnya takut dan tak berani nak pegang. Tapi mereka masih kecil lagi, baru lapan minggu. Kami beli dua ekor K9. Anjing jenis ini memang dikenali seluruh dunia kerana kecerdikan dan sifat setianya,” tulisnya.
Bonda turut menjelaskan, kedua-dua anjing itu bukan sahaja memiliki sijil keturunan, malah dilengkapi microchip dalam badan bagi mengelakkan risiko dicuri.
“Mereka bukan sekadar anjing biasa, tapi simbol keberanian. Saiznya besar seperti serigala, namun sangat penyayang dan setia. K9 juga adalah jenis anjing yang digunakan dalam unit polis dan FRU untuk siasatan dadah, pembunuhan dan memburu suspek,” katanya.
Dinamakan Inddy dan Izzy, kedua-dua anjing itu kini masing-masing seberat 14 kilogram dan menjalani proses latihan di bawah pengawasan orang Asli.
Bonda menegaskan, niat memelihara anjing bukanlah untuk dibelai atau dijadikan haiwan peliharaan biasa, sebaliknya demi menjaga keselamatan kawasan ladang yang luas.
“Bonda minta orang Asli untuk bantu jagakan dan akan ada jurulatih yang latih mereka nanti. Ini bukan untuk gomol macam orang putih. Anjing ini akan dilatih untuk jaga keselamatan di ladang,” katanya.
Tambah Bonda lagi, suaminya turut mengikut prosedur bersuci selepas menguruskan haiwan tersebut.
“Suami saya akan uruskan anjing ini dua jam setiap hari, dan selepas itu dia akan mandi air tanah (sertu) mengikut cara yang betul,” katanya.