mhafis@mediaprima.com.my
Klang: Angkut minuman keras tanpa cukai menggunakan van sekolah sebagai taktik penyamaran supaya tidak dihidu pihak berkuasa.
Itu tindakan licik seorang lelaki yang ditahan pihak polis di kawasan parkir di Taman Sri Gadong, di sini, ketika memindahkan minuman keras tidak bercukai ke dalam van sekolah untuk diedarkan di sekitar Klang.
Dalam serbuan jam 12 tengah hari semalam, anggota Unit Risikan Marin MO Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang Selangor bertindak menyerbu dan membuat pemeriksaan terhadap van sekolah itu.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, ketika serbuan, lelaki berusia 26 tahun itu sedang memindahkan minuman keras itu dari lori ke dalam van sekolah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai yang disimpan di dalam lori dan van bernilai RM10,664.40 dengan nilai cukai minuman RM36,889.57.
“Manakala nilai kenderaan yang disita adalah RM70,000 dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM117,553.97.
“Suspek dan rampasan kemudian dibawa balik ke markas PPM Pelabuhan Klang Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit aktiviti pengedaran minuman keras tanpa cukai di kawasan Klang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 74 Akta Eksais 1976 dan Akta Jabatan Pengangkutan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




