Bonus tambahan buat FAM

Bonus tambahan buat FAM

PELANTIKAN Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang dijangka dimuktamadkan dalam Kongres Luar Biasa pada Isnin, sebenarnya bukan sesuatu baharu dalam sejarah badan induk bola sepak negara.

Malah, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan kehadiran semula bekas presiden FAM ketujuh itu sebagai satu bonus tambahan buat badan sukan nombor satu negara.

“Saya percaya dengan penggal perkhidmatannya sebagai ahli majlis AFC (Persekutuan Bolasepak Asia) masih ada sehingga 2027, lantikan ini turut memperkukuhkan hubungan antara FAM dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

“Secara tidak langsung perkembangan ini mungkin memberi nilai tambah kepada projek revolusi Harimau Malaya idea Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dengan kehadiran semula Hamidin,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini spekulasi mengenai pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat mula timbul selepas beliau mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM pada Kongres Pemilihan Januari lalu.

Keputusan Hamidin yang juga presiden FAM dari 2018 hingga awal 2024 itu membuka laluan kepada Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub untuk dipilih sebagai Presiden baharu FAM selepas menang tanpa bertanding.

Ditanya kemungkinan timbul kritikan dalam kalangan komuniti bola sepak dengan pelantikan Hamidin, Pekan berkata, pemilihan itu merupakan hak FAM yang sudah tentu mendapat sokongan dalam kalangan ahli gabungan.

“Lagipun ini jawatan ‘Kehormat’ sahaja, bukan ada bidang kuasa khusus yang diberikan. Ia lebih kepada mengenang jasa.

“Saya rasa Hamidin pun tahu batasannya. Apa pun tidak salah untuk dia masih menyumbang dari segi pengalamannya untuk kemajuan bola sepak negara.

“Mungkin kerana ketika ia melepaskan jawatan Presiden FAM baru-baru ini, ia agak drastik.

“Banyak ilmu-ilmunya dan impiannya yang tidak sempat dilaksanakan atau diperturunkan kepada presiden baharu sekarang,” katanya.

Senada dengan Pekan adalah legenda negara, Datuk Jamal Nasir Ismail yang percaya pengaruh Hamidin pentas AFC dan FIFA dapat membantu mematangkan segera revolusi bola sepak negara untuk Piala Dunia 2030.

Malah bekas tonggak pertahanan Harimau Malaya dan Pahang percaya kehadiran Hamidin secara tidak langsung memperkuatkan aspirasi untuk Harimau Malaya beraksi di temasya edisi berkenaan.

“Sejujurnya, satu bonus buat FAM sebenarnya apabila Hamidin kembali bersama badan induk sebagai Presiden Kehormat.

“Tumpuan kita selepas ini seharusnya difokuskan kepada memperkasakan Harimau Malaya setelah meraih keputusan postif dalam Kelayakan Piala Asia, 10 Jun lalu.

“Tidak salah sebenarnya kita ambil pengalaman Hamidin sebelum ini, yang juga satu pengiktirafan kepadanya selepas berjasa kepada pembangunan bola sepak negara,” katanya.

Scroll to Top