Boost Bank melakar pencapaian penting dalam perjalanannya sebagai bank digital tempatan pertama di Malaysia, dengan hampir RM150 juta pembiayaan disalurkan kepada ratusan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sebagai bank digital pertama di negara ini yang menawarkan penyelesaian pembiayaan khusus untuk PKS, pencapaian ini mengukuhkan lagi komitmen Boost Bank dalam memperluas akses kewangan dan memperkasa perniagaan kecil yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Dengan purata saiz pinjaman sekitar RM300,000, momentum ini didorong oleh kemudahan pembiayaan utama Boost Bank, iaitu Pinjaman Berjangka dan Kredit Pusingan, direka khas untuk memenuhi pelbagai keperluan PKS.
Proses permohonan mudah yang membabitkan dokumentasi minimum, kelulusan pantas, dan pilihan bayaran balik yang fleksibel menjadikan ia lebih mudah diakses oleh perniagaan kecil, memanfaatkan ratusan PKS dalam pelbagai sektor seperti borong, pembuatan, runcit, pembinaan, makanan dan minuman serta banyak lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla, berkata PKS adalah nadi ekonomi Malaysia yang mencipta peluang pekerjaan, mendorong inovasi dan menjadikan komuniti lebih dinamik.
“Sejak mula menawarkan pembiayaan untuk PKS, misi kami jelas, untuk membantu usahawan mengatasi cabaran pembiayaan yang sering mereka hadapi.
“Meraih pencapaian ini bukan sekadar soal angka. Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila pembiayaan dibuat dengan mudah, boleh diakses dan benar-benar berpaksikan keperluan sebenar pemilik perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, ini turut mencerminkan pantasnya penyelesaian digital mengubah cara perniagaan beroperasi hari ini.
“Di Boost Bank, kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan, tetapi juga komited untuk menawarkan alat dan perkhidmatan yang tepat bagi membantu PKS mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka dengan yakin dalam era digital ini,” katanya.
Pada masa akan datang, Boost Bank bakal melancarkan sebuah platform digital baharu yang direka khusus untuk PKS.
Selain menawarkan pembiayaan, platform ini akan membantu perniagaan kecil mengurus kewangan, pembayaran dan operasi harian mereka dengan mudah dan cekap.
Matlamat platform ini adalah untuk membolehkan usahawan memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting, iaitu membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd