LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson akan melancarkan pelan tindakan antarabangsa untuk memastikan kegagalan pencerobohan Russia di Ukraine, termasuk sejumlah pertemuan diplomatik minggu depan.
Johnson akan cuba menghimpunkan komuniti antarabangsa untuk mewujudkan usaha ‘baharu dan bersepadu’ bagi menamatkan perang itu, serta melancarkan pelan tindakan enam perkara, yang akan diperincikan hari ini.
“Sejak Russia menceroboh Ukraine, kita dapat melihat pelbagai kritikan antarabangsa di seluruh dunia.
“Pelbagai negara di seluruh dunia mengenakan pakej sekatan terbesar terhadap ekonomi utama,” kata Downing Street.Johnson menegaskan, Presiden Russia, Vladimir Putin, perlu gagal dan dilihat gagal dalam tindakan agresifnya.
“Adalah tidak cukup sekadar menzahirkan sokongan kepada aturan antarabangsa yang berasaskan undang-undang, kita perlu mempertahankannya daripada cubaan mengubah peraturan menggunakan kuasa ketenteraan,” katanya.
Johnson akan menjadi hos kepada rakan sejawatnya dari Kanada, Justin Trudeau dan Perancis, Mark Rutte di Downing Street, esok bagi membincangkan bagaimana mengubah komitmen kepada kempen solidariti bersepadu bersama Ukraine.
Pada Selasa, Johnson akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin kumpulan Visegrad (V4) iaitu Hungary, Poland, Republik Czech dan Slovakia.
“Ini adalah negara yang sudah berdepan krisis kemanusiaan yang kini mula menyelubungi Eropah,” kata pejabat Johnson, ketika ratusan ribu warga Ukraine melarikan diri daripada konflik di negara itu.
Johnson dijangka menggesa semua pemimpin negara itu untuk bersama-sama dalam pelan tindakan enam perkara.
Pelan itu merangkumi mengerah kerjasama kemanusiaan antarabangsa, menyokong pertahanan Ukraine dan memaksimumkan tekanan ekonomi terhadap rejim Putin.
Ia juga bagi mengekang normalisasi tindakan Russia, membuka laluan diplomatik bagi menamatkan ketegangan membabitkan Ukraine dan memulakan kempen memperkukuh keselamatan dan ketahanan di seluruh kawasan Eropah-Atlantik. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




