'Borong' pemain kacukan ibarat penjajahan alaf baharu – Sadek

'Borong' pemain kacukan ibarat penjajahan alaf baharu – Sadek

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan ingin memborong pemain kacukan secara besar-besar untuk skuad Harimau Malaya ibarat penjajahan alaf baharu bagi dunia bola sepak di negara ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mohd Sadek Mustaffa berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus berpijak di bumi nyata dan jangan sesekali mengambil langkah popular hanya semata-mata inginkan kejayaan sepintas lalu atau dalam jangka masa pendek.

Jelasnya, idea untuk meniru negara jiran seperti Indonesia bukanlah sesuatu yang tepat, malah Singapura pernah melakukan perkara sama, tetapi gagal membuahkan hasil positif untuk jangka masa panjang.

“Mereka tidak dilahirkan di sini, malah tidak tahu langsung sejarah Malaysia dan hanya ada pertalian darah dari nenek moyang mereka sahaja.

“Mereka pun tidak mahu balik ke negara ini dan adakah pemain ini akan ada semangat juang untuk Malaysia? Boleh ke kita beli jiwa mereka untuk Malaysia?

“Kita kena memikirkan nasib pemain kita yang dilahirkan di Malaysia, bermain dari peringkat awal untuk negara ini dan tiba-tiba memasuki senior, tempat itu diberikan kepada pemain dari luar negara yang sebenarnya individu itu pun bukan pemain utama di negara mereka tinggal.

“Jangan ambil jalan mudah seperti Singapura yang pernah lakukan perkara ini, tetapi tengok sekarang bola sepak mereka sehingga sekarang tidak ke mana,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Tambah Sadek, FAM atau pihak berwajib sepatutnya mengambil contoh dan meniru cara dilakukan Jepun dan Korea Selatan sehingga mereka menjadi pasukan terkuat di Asia, malah menjadi pasukan yang sering beraksi di Piala Dunia.

Ujarnya lagi, sistem pembangunan itu perlu betul serta melahirkan bakat dari akar umbi sendiri dan bukan ambil jalan pintas seperti bau-bau bacang.

“Kita perlu bersabar dan lihat bagaimana Jepun dan Korea Selatan belajar daripada Malaysia satu masa dahulu dan benda ini kita seperti lihat strategi yang salah untuk perkara ini.

“Kita seperti memberi harapan dan janji palsu kepada anak yang bersekolah di AMD (Akademi Mokhtar Dahari) dan Sekolah Sukan.

“Kita perlu berusaha melahirkan lebih ramai pemain seperti Faisal Halim, Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, Datuk R Arumugam, Datuk Jamal Nasir Ismail dan ramai lagi.

“Jepun dan Korea sampai sekarang tetap berjaya dengan pemain tempatan mereka sehingga menjadi pasukan terkuat di Asia dan dunia.

“Pembangunan mereka sangat bagus dari akar umbi sehingga ke pasukan senior. Itu yang patut FAM lakukan dengan bangunkan sistem pembangunan yang betul termasuk membabitkan semua bangsa yang ada di Malaysia seperti skuad Olimpik Malaysia ketika 1972 dan 1980,” kata Sadek.

Terdahulu Arena Metro melaporkan revolusi skuad Harimau Malaya menyaksikan mungkin majoriti pasukan kebangsaan dibarisi rata-rata pemain campuran Belanda dan England.

Berdasarkan kepada laman Frfuturetalents menyaksikan 35 pemain kacukan yang disenaraikan adalah individu berpengkalan di Eropah dan beraksi dalam saingan liga kompetitif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top