Zurich: Presiden FIFA, Gianni Infantino menyatakan sokongan kepada pengadil Katia Itzel Garcia dan Persekutuan Bola Sepak Mexico (FMF) selepas pengadil tersebut mendedahkan beliau menerima ugutan dalam talian selepas mengadili perlawanan Leagues Cup.
Katia yang sebelum ini pernah mengadili pertandingan lelaki lain termasuk Liga MX, Piala Emas dan Sukan Olimpik, melaporkan beliau menerima ugutan bunuh selepas menjadi pengadil perlawanan Leagues Cup antara FC Cincinnati dan Monterrey, Khamis lalu.
Keputusan beliau untuk mengesahkan gol bagi pasukan MLS itu yang kelihatan seperti berada dalam kedudukan ofsaid mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong Monterrey selepas Cincinnati mencatat kemenangan 3-2.
“Saya amat kecewa dan sedih dengan ugutan terhadap pengadil Katia Itzel selepas perlawanan pusingan pertama Leagues Cup antara Monterrey dan Cincinnati,” tulis Infantino di akaun Instagram beliau, malam tadi.
“Tiada tempat dalam bola sepak dan masyarakat untuk penyalahgunaan, diskriminasi atau keganasan dalam apa jua bentuk.
“Di FIFA, kami berdiri teguh bersama FMF dan CONCACAF dalam mengecam tindakan mereka yang membuat ugutan tidak boleh diterima ini. Kami memberikan sokongan penuh tanpa syarat dalam memastikan pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.”
FMF dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu berkata, mereka “akan menasihati dan mengiringi Katia dalam proses membuat aduan kepada pihak berkuasa yang berkenaan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd