Newcastle: Pemilik bersama Newcastle, Jamie Reuben bersama delegasi Dana Pelaburan Awam (PIF) dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Alexander Isak di kediaman penyerang itu dalam usaha memujuknya kekal di kelab serta kembali ke skuad kendalian Eddie Howe.
Menurut pendedahan Daily Mail Sport, Reuben bersama pengarah Newcastle, Jacobo Solis bertemu Isak di rumahnya di Northumberland sebelum aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di St James’ Park, awal pagi tadi.
Kelab mahu penyerang Sweden itu kembali menjalani latihan dan beraksi bersama The Magpies selepas dia mengambil tindakan ‘mogok’ sebagai tekanan untuk memaksa perpindahan ke Liverpool.
Difahamkan, tawaran kontrak baharu juga menjadi sebahagian daripada perbincangan sekiranya Isak bersetuju untuk kekal musim ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu masih menyatakan hasrat jelas mahu berpindah, tetapi Newcastle belum dapat memenuhi syarat penjualan, iaitu membawa masuk dua penyerang baharu selain menerima tawaran rekod Britain daripada Liverpool.
Sehingga kini, mereka belum menandatangani sebarang penyerang baharu dan menolak tawaran Liverpool bernilai £110 juta (RM623.9 juta).
Keutamaan Newcastle tetap mahu mengekalkan Isak, dan dengan jendela perpindahan semakin hampir ditutup, mereka bertekad untuk melihatnya kembali bersama skuad Howe.
Sumber kelab percaya pertemuan itu adalah langkah positif ke arah penyelesaian.
Pengerusi Newcastle, Yasir Al-Rumayyan turut hadir menyaksikan perlawanan menentang Liverpool.
Walaupun tidak terbabit dalam pertemuan itu, beliau dilaporkan memberikan sokongan penuh terhadap usaha membawa Isak kembali ke dalam skuad secepat mungkin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




