Monza: Bos Formula One Williams, James Vowles, meminta maaf kepada Mick Schumacher selepas menyatakan bahawa anak kepada juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher, itu adalah baik tetapi ‘tidak istimewa’.
Vowles membuat kenyataan ini ketika menjelaskan mengapa Williams memilih pelumba Formula 2 (F2) Argentina, Franco Colapinto, berbanding Schumacher yang lebih berpengalaman sebagai pengganti Logan Sargeant yang digugurkan.
“Pertama sekali, saya di sini bukan untuk menjatuhkan Mick,” kata Vowles kepada televisyen Formula Satu (F1).
“Mick berada dalam pasukan kejuaraan dunia yang telah memilihnya sebagai pemandu simpanan, dan ada sebab yang baik di sebaliknya. Ini kerana dia adalah calon yang sangat kuat.
“Perkataan istimewa, saya gunakan dalam konteks juara dunia seperti Ayrton Senna, Lewis (Hamilton). Jelas itu adalah sesuatu yang bodoh dilakukan, kerana itu adalah perbandingan yang tidak tepat.”
Schumacher digugurkan oleh Haas selepas dua musim bersama pada akhir 2022.
Dia kini dipandang sebelah mata oleh Mercedes, Alpine yang dimiliki Renault dan Williams ketika mereka mempunyai kekosongan slot F1 untuk diisi.
Vowles berkata, keputusan Williams adalah kerana mereka mahu menggunakan pemandu dari akademi mereka sendiri dan beliau meminta maaf secara peribadi kepada Schumacher.
“Dia tidak meminta apa-apa, tetapi ini penting bagi saya, kerana dia sangat dekat dengan saya dan ia datang dengan cara yang salah sama sekali,” katanya.
“Lebih daripada segala-galanya, saya mahu itu jelas.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




