Bosan watak klise, Ammar Alfian rancang bersara berlakon

Bosan watak klise, Ammar Alfian rancang bersara berlakon

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon, Ammar Alfian, 39, merancang untuk bersara daripada bidang lakonan selepas dua dekad berkecimpung dalam industri seni tanah air.

Ammar atau nama sebenarnya, Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri berkata, keputusan itu dibuat kerana sudah menjayakan pelbagai watak dalam bidang lakonan.

“Saya mahu bersara bukan sebab kecewa dalam bidang seni tetapi kerana semua watak saya sudah buat.

“Saya memang minat berlakon, tapi kalau setakat macam itu sahaja selama 20 tahun, nak buat macam mana kan? Tapi, masih belum tahu lagi bila saya akan bersara kemungkinan pada tahun depan,” katanya.

Ammar berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama vertikal berjudul Pan Mee, di sini, petang semalam.

Pelakon filem Paskal itu berkata, dia juga bersyukur dengan pengalaman diperolehi sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan pengalaman yang diperolehi sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.

“Cuma, pada pandangan saya, kebanyakan drama yang dihasilkan sekarang bersifat klise dan cerita yang lebih kurang sama.

“Sama juga macam watak yang ditawarkan pada saya. Kalau ada orang tawar watak ustaz saya ambillah. Tapi takkan ada,” katanya.

Ditanya perancangan pada masa depan, kata Ammar, dia juga mahu memberi lebih fokus pada bisnes diceburinya.

“Umur saya pun sudah nak masuk 40 tahun dan sudah sampai tahap untuk bertukar karier dan kehidupan.

“Saya memang sudah ada perniagaan sendiri dan mungkin saya akan lebih fokus ke arah itu,” katanya

Ammar mula berlakon sekitar 2007 selepas terpilih sebagai finalis dalam pertandingan Hero Remaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top