Bosnia raih kegembiraan di sebalik luka lama

Bosnia raih kegembiraan di sebalik luka lama

Sarajevo: Bosnia-Herzegovina bukan sekadar layak ke Piala Dunia, tetapi turut menghadiahkan sinar harapan buat rakyat yang sekian lama berdepan pelbagai cabaran.

Kemenangan dramatik ke atas Itali menerusi penentuan penalti mencetuskan sambutan luar biasa di seluruh negara, dengan ribuan penyokong membanjiri jalanan hingga lewat malam.

Wira kemenangan, Esmir Bajraktarevic menjadi nama yang dilaungkan selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti penentu untuk membawa Bosnia ke pentas dunia buat kali kedua dalam sejarah.

Di tengah-tengah suasana politik yang tegang dan kesan konflik lama yang masih dirasai, kejayaan skuad negara itu menjadi penyatu buat rakyat Bosnia.

“Kami sangat gembira. Dalam banyak perkara sukar yang negara ini hadapi, ini adalah sinar yang membawa kegembiraan,” kata seorang penyokong di Sarajevo.

Perayaan turut diserikan dengan lautan bendera, hon kenderaan dan suar yang menerangi langit malam, mencerminkan betapa besar makna kejayaan itu buat seluruh negara.

Lebih istimewa, pencapaian ini hadir 12 tahun selepas penampilan pertama Bosnia di Piala Dunia, sekali gus menghidupkan semula impian generasi baharu.

Skuad kendalian Sergej Barbarez kini diundi dalam Kumpulan B bersama Kanada, Qatar dan Switzerland.

Namun buat rakyat Bosnia, kejayaan ini lebih daripada sekadar bola sepak, ia adalah simbol harapan, perpaduan dan masa depan yang lebih cerah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top