Bot dipercayai rosak, 6 sahabat dikhuatiri hilang

Bot dipercayai rosak, 6 sahabat dikhuatiri hilang

bhnews@bh.com.my

CHUKAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) petang ini mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam pemancing termasuk tekong yang tidak pulang selepas mereka keluar ke laut sejak Isnin lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd Ramlie, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 8.50 malam kelmarin yang dibuat seorang daripada ahli keluarga kepada enam pemancing yang masih gagal dihubungi itu.

Susulan itu, beliau berkata, pasukan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan, terbabit dalam SAR itu bagi mengesan Mohd Hafizol Hisham Zakaria, 29; Mohd Samerin Suhaimi, 29; Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19; Risidi Mohamad, 22; Mohamad Shahrul Ainmie, 19; dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20, yang semuanya tinggal di Kampung Berenjut dan Gong Pauh Kemaman.

Katanya, pihaknya juga menyalurkan maklumat sama kepada aset maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan dan pengesanan.

“Operasi pencarian turut dibantu Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot Kelas A dinaiki enam pemancing itu dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Laporan berhubung kejadian itu dibuat kakak kepada Mohamad Shahrul, Nurul Nasuha Amran, 28, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.

Sementara itu, Nurul Nasuha berkata, adiknya bersama lima rakannya yang juga pekerja di Laguna Ikan Bakar, Geliga Kemaman, keluar memancing Isnin lalu dan sepatutnya pulang hari ini.

“Adik kali pertama keluar memancing di laut dan sebelum keluar Isnin lalu, dia memaklumkan akan pulang hari ini.

“Saya cuba menghubunginya malam tadi tetapi gagal dan usaha menghubungi lima lagi rakannya juga tidak berjaya hingga kini,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top