bhnews@bh.com.my
KOTA BHARU: Tiga pemancing dilaporkan hilang di laut selepas bot dinaiki mereka terbalik dan karam akibat dipukul ombak di perairan Kuala Besar Badang, di sini, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mat Harun Mohd Nor, 54; Mat Awang @ Jali, 55; dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26, dikatakan keluar ke laut untuk memancing serta mencandat sotong kira-kira jam 5 petang semalam di jeti Kampung Keseng, Kuala Besar.
Saksi kejadian, Nik Amran Nik Hussin, 42, berkata terdahulu beliau bersama 14 pemancing lain, termasuk tiga mangsa, keluar ke laut dengan menaiki lima bot.
Ketika itu, beliau berkata, cuaca memang agak mendung tetapi disangka akan kembali baik.
“Bagaimanapun menjelang malam, keadaan cuaca mulai buruk dengan hujan lebat bersama angin kencang dan laut bergelora.
“Keadaan terus menjadi semakin genting sehingga bot dinaiki tiga mangsa itu terbalik kira-kira jam 8.30 malam. Kejadian berlaku dalam sekelip mata,” katanya kepada pemberita di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, hari ini.
Dalam keadaan gelap dan huru-hara itu, Nik Amran berkata, masing-masing hanya mampu berusaha menyelamatkan diri kerana bot dinaiki mereka turut dimasuki air.
Katanya, beliau cuba melemparkan tali sauh ke arah bot yang terbalik itu tetapi tidak berhasil akibat dibadai ombak besar.
“Apabila cuaca sudah reda, kami memutuskan untuk pulang ke darat dan memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa, tambahan pula radar sudah tidak dapat mengesan bot yang karam itu.
“Ketiga-tiga mangsa sudah beberapa kali keluar memancing dan mencandat sotong, namun ini kali pertama kami berdepan situasi sebegini,” katanya yang berpengalaman ke laut selama 20 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




