Bot karam: Jasad bapa ditemukan, anak masih hilang

Bot karam: Jasad bapa ditemukan, anak masih hilang

am@hmetro.com.my

Kabong: Mayat lelaki yang ditemui terapung oleh nelayan di perairan Kabong, pagi tadi disahkan sebagai Tuah Bujang, 57, yang dilaporkan hilang bersama anaknya, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, identiti mayat itu disahkan oleh isteri dan anak mangsa di Unit Forensik Hospital Saratok hari ini.

Mayat berkenaan ditemui oleh nelayan tempatan pada jam 9.58 pagi hari ini pada jarak kira-kira 3.4 batu nautika dari lokasi kejadian.

Mangsa keluar menangkap ikan bersama anaknya, Aiman Tuah, 24 tahun, pada jam 2 petang, Rabu lalu.

Bagaimanapun, keadaan laut bergelora akibat hujan lebat sekitar jam 5 petang menyebabkan mereka gagal dihubungi.

Laporan kehilangan dua beranak itu dibuat di Balai Polis Kabong pada jam 6.49 pagi, 4 September.

Bot mangsa yang karam ditemui terapung di perairan Kabong, Khamis lalu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, anggota bomba mengambil mayat itu untuk dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis bagi proses pengecaman.

Berikutan penemuan mayat mangsa, pencarian kini diteruskan untuk mengesan anaknya, Aiman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top