Bot nelayan tempatan dilanggar di perairan Terengganu, Maritim Malaysia lakukan siasatan lanjut

Bot nelayan tempatan dilanggar di perairan Terengganu, Maritim Malaysia lakukan siasatan lanjut

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang melakukan siasatan lanjut berhubung insiden pelanggaran bot nelayan tempatan di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, beberapa saksi sudah ditemubual bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, berdasarkan keterangan seorang saksi, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi pada kedudukan lebih kurang 33 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu.

Katanya, bot nelayan tempatan Kelas A berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan terapung, manakala lima kru termasuk tekong sedang berehat.

“Seorang kru kemudian menyedari sebuah bot bersaiz lebih besar menghampiri pada kelajuan tinggi sebelum berlaku pelanggaran yang menyebabkan kerosakan pada bahagian belakang dan struktur bumbung bot nelayan tempatan terbabit.

“Bot terbabit dalam pelanggaran dilaporkan terus bergerak meninggalkan lokasi, manakala semua kru bot nelayan tempatan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, bot berkenaan kemudiannya dibawa pulang ke Jeti Duyong untuk kerja baik pulih dan pemilik bot menganggarkan kos kerosakan berjumlah kira-kira RM10,000.

Katanya, laporan berhubung kejadian itu dibuat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, berdasarkan maklumat dan keterangan yang diperoleh setakat ini, identiti serta kewarganegaraan bot yang terbabit dalam pelanggaran tersebut masih belum dapat dipastikan.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan pengesahan berhubung kejadian itu.

“Semakan terhadap rekod tangkapan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu sebelum ini juga tidak menunjukkan rekod tangkapan bot nelayan asing Vietnam pada lokasi sekitar 33 batu nautika dari Kuala Terengganu seperti yang dikaitkan dengan kejadian tersebut,” katanya.

Hamiludin berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan kerana membabitkan keselamatan komuniti nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti di laut.

Katanya, pihaknya turut menasihatkan komuniti nelayan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan, memastikan peralatan navigasi dan komunikasi berfungsi dengan baik serta segera melaporkan sebarang insiden atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top