am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menggantung lesen operasi sebuah agensi pelancongan susulan penangkapan warga China dan Malaysia di Perairan Tugayo Hunasan, Sitangkai, Tawi-Tawi, Filipina pada Ahad.
Motac dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan mengambil tindakan segera bagi menangani isu itu sementara menunggu siasatan lanjut bagi menentukan sama ada mereka terbabit dalam isu berkenaan.
Menurutnya, penggantungan ini akan kekal sehingga siasatan selesai dan terbukti agensi itu tidak terbabit dalam sebarang aktiviti haram.
Katanya, sekiranya siasatan mendapati terdapat sebarang kesalahan dilakukan agensi terbabit atau mana-mana entiti lain terbabit, tindakan sewajarnya akan diambil termasuk penggantungan lesen secara kekal.
Motac turut mengingatkan kepada semua ejen pelancongan di seluruh negara supaya memastikan semua pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan mematuhi peraturan undang-undang.
“Ia penting supaya kita tidak terbabit atau mempromosikan sebarang amalan perniagaan yang tidak sah,” katanya.
Katanya, tindakan mempromosikan pakej pelancongan yang merangkumi lawatan ke dua atau beberapa negara dalam satu hari adalah pelanggaran yang serius.
“Ia satu iklan yang mengelirukan dan salah di sisi undang-undang dan semua ejen pelancongan diarah mematuhi peraturan undang-undang dan amalan etika dalam operasi mereka.
“Pematuhan kepada undang-undang adalah penting bagi mengekalkan integriti industri pelancongan serta memastikan keselamatan dan kesahihan aktiviti perjalanan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu termasuk tujuh rakyat Malaysia selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram, Ahad lalu.
Selain rakyat Malaysia, baki lapan lagi yang ditahan membabitkan warga China.
Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina, Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.
Mengikut laporan, mereka yang tidak memiliki dokumen sah itu didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju.
Difahamkan, kumpulan pelancong terbabit sedang bercuti di Semporna dan dilaporkan pergi memancing di perairan Malaysia apabila secara tidak sengaja memasuki wilayah Filipina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




