Bot sangkar ikan guna lesen tamat tempoh ditahan

Bot sangkar ikan guna lesen tamat tempoh ditahan

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot sangkar ikan di perairan Batu Maung, di sini semalam kerana menggunakan lesen bot yang telah tamat tempoh.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia setelah memeriksa secara rawak sebuah bot sangkar ikan pada kedudukan sekitar 0.9 kilometer dari Batu Maung, kira-kira pukul 4.40 petang semalam.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh empat kru warga asing iaitu seorang tekong dan dua kru Myanmar serta seorang kru Indonesia berumur antara 21 hingga 29 tahun.

“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap tetapi disyaki melakukan kesalahan kerana mengendalikan bot dengan lesen yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesalahan itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu beroperasi dengan mengendalikan bot menggunakan lesen yang telah tamat tempoh.

Ujar beliau, bot bersama kesemua kru dan tekong ditahan sebelum dibawa ke jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon Maritim Malaysia,” katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan aduan salah laku jenayah maritim atau kejadian kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – UTUSAN