Bot terbalik diserang badak air, 11 orang hilang

Bot terbalik diserang badak air, 11 orang hilang

Abidjan: Sebelas orang termasuk wanita, kanak-kanak perempuan dan seorang bayi dilaporkan hilang selepas bot mereka terbalik akibat diserang badak air di barat daya Ivory Coast.

South China Morning Post melaporkan, Menteri Perpaduan Nasional dan Solidariti Afrika Barat, Myss Belmonde Dogo berkata, insiden itu berlaku kelmarin, di Sungai Sassandra berhampiran bandar Buyo.

Katanya, badak air itu menolak bot sempit berbentuk kanu sehingga terbalik ketika ia bergerak di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tiga orang di atas bot sama berjaya diselamatkan.

“Usaha mencari masih diteruskan dengan harapan menemui mangsa yang hilang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sementara itu, kajian oleh penyelidik universiti di Ivory Coast pada 2022 mendapati, badak air adalah spesies paling banyak terbabit dalam insiden yang mengakibatkan kematian atau kecederaan manusia di negara itu.

Dianggarkan terdapat kira-kira 500 badak air di Ivory Coast yang kebanyakannya mendiami Sungai Sassandra dan Bandama di bahagian selatan.

Difahamkan, kemalangan bot bukan sesuatu yang asing di negara itu kerana bot panjang buatan tangan sering digunakan untuk menghubungkan komuniti di tepi sungai.

Bot berkenaan juga lazimnya membawa penumpang dan barangan melebihi kapasiti sehingga meningkatkan risiko nahas.

Pada April lalu, seramai 12 kanak-kanak dan remaja lemas selepas bot yang mereka naiki terbalik di sebuah lagun berhampiran bandar utama Abidjan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top