Los Angeles: Jaringan dramatik Denis Bouanga pada minit ke-115 membantu Los Angeles FC (LAFC) bangkit menewaskan gergasi Mexico, Club America 2-1 dalam masa tambahan sekali gus melayakkan kelab Major League Soccer (MLS) itu ke Piala Dunia Kelab.
Bouanga bukan sahaja menjaringkan gol kemenangan tetapi turut memainkan peranan penting apabila hantarannya menerusi sepakan sudut pada minit ke-89 disudahkan Igor Jesus untuk gol penyamaan yang memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Club America terlebih dahulu berada di depan hasil sepakan penalti bekas pemain LAFC, Brian Rodriguez pada minit ke-64 selepas Mark Delgado menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.
Kemenangan itu bukan sekadar membuka laluan ke kejohanan dunia yang bermula 14 Jun ini di Amerika Syarikat, malah menjamin LAFC hadiah minimum AS$9.55 juta (RM45 juta), dengan setiap kemenangan di peringkat kumpulan bernilai tambahan AS$2 juta.
LAFC diundi dalam Kumpulan D bersama Chelsea (England), Flamengo (Brazil) dan ES Tunis (Tunisia), dengan pertemuan sulung mereka menentang Chelsea dijadual berlangsung pertengahan Jun.
Bouanga meledak gol kemenangan dari luar kotak penalti selepas menerima lorongan Olivier Giroud, manakala penjaga gol Club America, Luis Malagon melakukan tujuh penyelamatan penting.
Sementara itu, Hugo Lloris turut cemerlang buat LAFC dengan tiga aksi menyelamat, membantu pasukannya mengatasi tekanan lawan sepanjang perlawanan.
Slot yang dimenangi LAFC ini adalah milik kelab Mexico, Leon, yang menarik diri disebabkan pemilikan bersama dengan Pachuca, yang sudah layak lebih awal. Selain LAFC, dua lagi kelab MLS iaitu Inter Miami dan Seattle Sounders turut layak ke Piala Dunia Kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd




