Pelakon Boy Iman, 45, memberi respons apabila wajahnya dikatakan seiras pelakon popular Indonesia, Jefri Nichol yang kini semakin mencuri perhatian ramai di Malaysia.
Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, ketika ditemui XTRA berkata pada awalnya, dia sendiri tidak nampak persamaan tersebut, namun pendapat itu berubah selepas terlihat satu hantaran Instagram Jefri yang tular.
“Masa mula-mula saya tengok tu, saya rasa tak berapa sama. Tapi ada sekali tu, saya tengok hantaran yang Jefri kongsikan di Instagram, ketika dia berada di tandas, saya rasa macam ada persamaan sedikit, ada nampak macam saya di zaman muda-muda, ketika kurus,” katanya sambil ketawa.
Mengimbas zaman kegemilangannya sebagai pelakon kegilaan remaja suatu ketika dahulu, Boy turut berkongsi kisah lucu dan tidak dapat dilupakan ketika popularitinya memuncak di era 2000-an.
“Zaman dahulu sangat berbeza. Saya pernah dapat beribu pucuk surat, saya pernah dapat pelbagai hadiah, teddy bear dan paling teruk sekali saya dapat bra peminat. Saya sangat terkejut apabila dapat bra tu,” ujarnya.
Boy juga mendedahkan pernah diserbu peminat ketika menyertai siri promosi filem lakonannya.
“Ada sekali tu, ketika saya sertai roadshow filem Kem 505, pernah kena serbu sampai pengsan, rantai dan baju saya koyak. Ketika itu di Plaza Angsana Johor,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut soal wajahnya yang dibandingkan dengan kekasih kepada pempengaruh Ameera Khan itu, Boy memilih untuk bersikap rendah diri.
“Saya tak rasa saya sama macam dia, saya tak nak riak dan takbur. Saya ada baca macam-macam komen, orang cakap saya lebih kacak berbanding Jefri Nichol.
“Bukan saya nak riak kerana ini semua pinjaman Allah. Cuma, saya rasa saya tak sama dengan dia. Bagi saya, dia lagi kacak, saya pula ketika di usia muda berbadan kurus, dia pula berbeza,” katanya lagi.