Boy PJ kecewa

Boy PJ kecewa

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Akibat permainan licik seorang individu yang dikenali, kartunis dan penyanyi, Boy PJ, 57, terlepas peluang untuk menjana pendapatan tambahan apabila namanya diketepikan untuk menyertai Bazar Buku Perak yang akan berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Ipoh pada 23 hingga 27 Julai ini.

Boy atau nama sebenarnya, Noor Azman Samsuddin berkata, pembabitan pada acara ini amat dinantikan kerana menjadi tempat terbaik kartunis mencari pendapatan tambahan.

“Kartunis melihat ia menjadi medan menjana pendapatan lebih untuk selesaikan segala bil dan segala hutang. Di pesta buku inilah ada ‘rezeki rimau’.

“Saya bukan nak salahkan sesiapa. Tetapi inilah dunia. Kebaikan kita bukan lagi jaminan untuk orang balas dengan kebaikan.

“Maaf. Selepas ini saya takkan layan. Cukup sudah. Sebak dan sedih. Semua perasaan ini bercampur sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Boy yang dikenali menerusi karya Malaysia Meriah dan Pulau Juor And The Gang di majalah Gila-Gila satu ketika dulu berkata, air matanya bergenang mengenangkan apa yang berlaku kerana sudah merancang pelbagai agenda hasil dari pendapatan yang diperoleh.

“Saya dah janji dengan anak dapat duit Bazar Buku kita jalan-jalan. Hanya yang ada keluarga akan faham. Bila ada duit, kehendak isteri dan anak diutamakan.

“Di sisi lain pula, saya sebenarnya setiap pagi menyantuni mak yang uzur terjatuh kat dapur rumah dan tulang kakinya retak. Jadi mak tak boleh berjalan.

“Setiap kali mak nak ke bilik air, saya bergegas dukung dan usung dia untuk buang air besar. Doakan semoga mak segera pulih. Insya’Allah mak. Tak mengapa, saya reda dan sabar dulu dengan ujian ini,” katanya.

Terdahulu, Boy aktif melukis karikatur di pelbagai acara di sekitar negeri Perak. Selain melukis, dia turut menghiburkan pengunjung dengan singlenya berjudul Keme Budak Pulau Juor.

Semasa bersama Gila-Gila, dia terbabit dalam GG Grup yang popular dengan lagu Balada Cinta Romeo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top