BPMP sedia pembiayaan RM367.2 juta Projek Kereta Kabel Pulau Pinang

BPMP sedia pembiayaan RM367.2 juta Projek Kereta Kabel Pulau Pinang

PROJEK pembinaan sistem Kereta Kabel Bukit Bendera mendapat suntikan besar apabila Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM367.2 juta kepada Hartasuma Ropeways Sdn Bhd, syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh syarikat konsesi, Hartasuma Sdn Bhd

Pembiayaan itu dimeterai pada Rabu menerusi satu majlis menandatangani perjanjian rasmi antara kedua-dua pihak, sekali gus membuka jalan kepada pelaksanaan penuh projek infrastruktur penting tersebut.

Projek berkenaan dijangka mengubah akses ke Bukit Bendera dengan menyediakan sistem pengangkutan alternatif kepada rel funikular sedia ada serta menyokong pertumbuhan pelancongan mampan jangka panjang negeri ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan Korporat dan Pelaburan BPMB, Mohamed Nazri Omar, kemudahan pembiayaan itu adalah sebahagian daripada komitmen institusi kewangan pembangunan tersebut dalam menyokong agenda negara.

“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, BPMB komited untuk menyalurkan modal impak yang mendorong pembangunan negara dan memperkasa ekonomi tempatan.

“Kemudahan pembiayaan RM367.2 juta ini mencerminkan tumpuan kami dalam menyokong infrastruktur pelancongan mampan yang menjana manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perjanjian Pembiayaan antara BPMB dan Hartasuma Ropeways Sdn Bhd pada Rabu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu sangat signifikan dan perlu disegerakan memandangkan jumlah penumpang funikular telah melebihi 1 juta orang bagi tahun ini.

“Sehingga 25 Julai lalu, perkhidmatan funikular Bukit Bendera secara rasminya telah mencatatkan jumlah penumpang melebihi 1 juta bagi tahun ini. Ini merupakan satu pencapaian besar yang mencerminkan populariti berterusan serta peningkatan permintaan untuk akses ke Bukit Bendera.

“Kereta kabel ini tidak akan menggantikan funikular, sebaliknya melengkapkannya dan membantu mengurangkan kesesakan serta meningkatkan pengalaman pelawat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon menyifatkan projek tersebut sebagai sebuah legasi untuk rakyat Pulau Pinang.

“Kita bukan sekadar membina kereta kabel, kita sedang membina memori yang akan dikenang dan diwarisi generasi ke generasi.

“Pembiayaan ini juga merupakan inisiatif pembiayaan campuran pertama BPMB yang merangkumi pembiayaan hutang dan pelaburan ekuiti melalui anak syarikat BPMB Dana Sdn. Bhd. serta disokong Dana Peralihan Tenaga Negara (NETF) di bawah Kementerian Ekonomi.”

Kereta kabel yang bakal dibina dari Taman Botani Pulau Pinang ke puncak Bukit Bendera itu mampu membawa sehingga 1,400 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan dijangka mengambil masa hanya 10 minit untuk sampai ke destinasi.

Projek yang disasarkan siap awal tahun 2027 itu turut menekankan aspek kelestarian dengan penggunaan tenaga solar, teknik pembinaan mesra alam serta perlindungan ekologi untuk memelihara biodiversiti Bukit Bendera.

Dalam masa sama, hampir 400 peluang pekerjaan akan diwujudkan, termasuk program latihan belia dan kemudahan mesra OKU, sekali gus memperluaskan manfaat projek kepada komuniti setempat.

Scroll to Top