Brad Pitt saman Angelina Jolie AS$35 juta

Brad Pitt saman Angelina Jolie AS juta

Kuala Lumpur: Pelakon Hollywood, Brad Pitt, memfailkan saman baharu terhadap bekas isterinya, Angelina Jolie, menuntut ganti rugi sebanyak AS$35 juta (RM146 juta) berhubung pertikaian pemilikan ladang arak Chateau Miraval di Perancis.

Menurut laporan media antarabangsa, dokumen mahkamah mendedahkan saman itu difailkan susulan penjualan saham Jolie dalam ladang berkenaan kepada pihak ketiga tanpa persetujuan Pitt.

Jolie sekali gus didakwa melanggar perjanjian bersama yang menetapkan bahawa kedua-dua pihak tidak boleh menjual pegangan masing-masing tanpa keizinan satu sama lain.

Pasangan itu membeli Chateau Miraval ketika masih bergelar suami isteri, namun selepas perceraian mereka sah pada 2019, isu pemilikan ladang itu terus menjadi pertikaian utama di mahkamah.

Jolie, 49, memfailkan perceraian terhadap Pitt pada 2016 selepas dua tahun berkahwin. Walaupun perpisahan mereka disahkan, kedua-duanya masih terikat dengan pelbagai kes undang-undang yang belum selesai.

Dalam e-mel bertarikh November 2023 yang dikemukakan kepada mahkamah, peguam Jolie menyifatkan tindakan Pitt memfailkan saman itu sebagai penyebab utama timbulnya pelbagai kerumitan dalam proses undang-undang.

“Kerumitan dalam penyediaan dokumen berpunca daripada tindakan Pitt sendiri yang menyaman Jolie sebanyak AS$35 juta. Oleh itu, dia perlu menanggung kos penyediaan dokumen bagi membuktikan dakwaan kerugian itu,” kata kenyataan itu.

Selain itu, satu e-mel lain daripada pasukan Jolie bertarikh Oktober 2023 turut mendakwa bahawa Pitt sedang menuntut ganti rugi tambahan atas dakwaan kerosakan terhadap operasi Chateau Miraval yang masih berjalan.

Pasukan undang-undang Jolie juga menegaskan bahawa Pitt enggan menyerahkan dokumen berkaitan kerana dia memerlukan perjanjian NDA (Non-Disclosure Agreement) selama empat tahun yang membabitkan salah laku peribadinya.

“Dokumen-dokumen ini penting dan mesti dikemukakan kerana ia berada di tengah-tengah isu utama kes ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Pitt pula memaklumkan bahawa kurang enam bulan selepas Jolie menjual sahamnya, pihak Jolie mencadangkan satu klausa non-disparagement (larangan memburukkan) bersama yang lebih luas untuk dimasukkan dalam penyelesaian perceraian mereka.

Namun, Jolie menafikan dakwaan Pitt bahawa mereka pernah mencapai persetujuan bersama untuk tidak menjual saham tanpa persetujuan antara satu sama lain.

Kes berkenaan dijangka akan diteruskan dengan pendengaran awam seterusnya pada 17 Disember ini.

Peguam Jolie, Paul Murphy, dalam satu kenyataan kepada majalah PEOPLE berkata, pihak Pitt masih gagal memberikan hujah yang kukuh dan terus menggunakan andaian serta spekulasi bagi mencabar komunikasi sulit Jolie bersama pasukan peguamnya.

“Hujah balas Pitt tidak menjawab isu yang kami bangkitkan. Ini sekali lagi membuktikan bahawa saman ini adalah lanjutan daripada usaha bertahun-tahun Pitt untuk mengawal dan mengganggu Jolie,” katanya.

Murphy turut menegaskan bahawa pihaknya yakin terhadap keputusan mahkamah pada pendengaran akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top