RIO DE JANEIRO: Brazil merekodkan 90,303 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu melonjak kepada 11,693,838 juta.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Brazil melaporkan seramai 2,648 orang meninggal dunia akibat wabak berkenaan, sekali gus menyaksikan peningkatan angka korban kepada 284,775 orang.
Negara Amerika Selatan itu ketika ini mencatatkan angka kes positif dan kematian kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat.
Brazil ialah antara negara paling teruk terjejas berikutan pandemik kesihatan berkenaan susulan penularan gelombang terbaharu yang memberi tekanan terhadap sistem kesihatan di kebanyakan wilayahnya.
Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan kementerian, Brazil ketika ini mempunyai purata kematian 136 orang dan 5,565 kes jangkitan bagi setiap 100,000 penduduknya.
Mengikut perangkaan yang diterbitkan konsortium media setakat Selasa lalu, Brazil sudah memberikan suntikan vaksin kepada lebih 14.18 juta rakyatnya. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




