Las Vegas: Uruguay menewaskan Brazil 4-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat seri tanpa jaringan untuk mara ke separuh akhir Copa America menentang Colombia.
Sergio Rochet menyelamatkan sepakan penalti pertama Brazil oleh Eder Militao manakala sepakan rakan sepasukannya Douglas Luiz terkena tiang.
Penjaga Brazil Alisson Becker menafikan percubaan Jose Gimenez tetapi Manuel Ugarte menyempurnakan sepakan penalti penentu untuk Uruguay mara.
Dalam perlawanan yang penuh ketegangan itu sebanyak 41 kekasaran direkodkan daripada kedua-dua pasukan, Darwin Nunez dari Uruguay mempunyai peluang terbaik apabila dia terlepas tandukan jarak dekat.
Manakala kapten Brazil, Raphinha akur melihat percubaannya digagalkan oleh penjaga gol Sergio Rochet.
Uruguay terpaksa beraksi 10 pemain pada separuh masa kedua apabila Nahitan Nandez dilayangkan kad merah susulan semakan VAR kerana melakukan terjahan keras ke atas Rodrygo.
Tetapi Brazil gagal mengambil kelebihan itu apabila Uruguay berjaya bertahan untuk membawa perlawanan ke penalti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




