Brazil lanjut kontrak Ancelotti sehingga 2030

Brazil lanjut kontrak Ancelotti sehingga 2030

Rio de Janeiro: Carlo Ancelotti akan menandatangani kontrak lanjutan bersama Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) untuk terus menjadi ketua jurulatih sehingga Piala Dunia 2030.

Media mendedahkan pada Disember bahawa pengendali dari Itali itu mencapai persetujuan lisan untuk kontrak baharu selama empat tahun.

Perjanjian baharu ini tidak melibatkan kenaikan gaji buat Ancelotti, yang sudah pun merupakan jurulatih dengan bayaran tertinggi dalam sejarah pasukan kebangsaan Brazil dengan memperoleh sekitar AS$12 juta setahun.

Bagaimanapun, empat ahli barisan kejurulatihannya akan menerima pelarasan gaji.

Pengumuman rasmi dijangka dibuat sebelum Ancelotti mengumumkan senarai pemain pada 16 Mac bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Perancis dan Croatia di Amerika Syarikat.

Ancelotti, 66, menyatakan kepada media pada September lalu bahawa beliau mahu melanjutkan kontraknya sehingga 2030.

Beliau mengambil alih pasukan kebangsaan Brazil selepas meninggalkan Real Madrid pada Mei 2025 dengan sasarannya jelas membawa Brazil meraih kejuaraan Piala Dunia keenam pada 2026.

Brazil kali terakhir menjulang trofi Piala Dunia pada 2002, dan pencapaian terbaik mereka selepas itu ialah tempat keempat pada 2014 ketika menjadi tuan rumah.

Di bawah kendalian Ancelotti, Brazil mencatat empat kemenangan, dua seri dan dua kekalahan daripada lapan perlawanan.

Brazil akan menentang Perancis di Boston pada 26 Mac sebelum berdepan Croatia di Orlando pada 31 Mac. Kempen Piala Dunia mereka bermula menentang Maghribi pada 13 Jun.

Pasukan lima kali juara dunia itu turut diundi bersama Scotland dan Haiti dalam Kumpulan C.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top