Brazil tak kisah dianggap bukan pilihan, sedia lakar kejutan-Alisson

Brazil tak kisah dianggap bukan pilihan, sedia lakar kejutan-Alisson

MORRISTOWN, Amerika Syarikat: Status bukan pasukan pilihan menjelang Piala Dunia 2026 tidak sedikit pun merisaukan penjaga gol Brazil, Alisson Becker, malah dia percaya situasi itu mampu menjadi senjata rahsia Selecao untuk kembali menjulang trofi berprestij dunia itu.

Ketika tumpuan ramai lebih terarah kepada juara bertahan Argentina, juara Eropah Sepanyol dan naib juara 2022, Perancis, Brazil dilihat hadir ke kejohanan kali ini tanpa aura ‘kebal’ yang pernah menjadikan mereka pasukan paling digeruni di dunia.

Namun, bagi Alisson, sejarah membuktikan Brazil pernah berada dalam situasi yang sama sebelum mencipta kejayaan besar.

“Adalah sesuatu yang baik apabila ada pihak meragui kemampuan pasukan ini kerana perkara sama pernah berlaku sebelum ini.

“Kami percaya dengan kemampuan sendiri untuk memberi saingan dalam perebutan Piala Dunia kali ini,” katanya yang merujuk kepada kempen Piala Dunia 2002 apabila Brazil turut tidak dianggap sebagai calon utama juara sebelum akhirnya menjulang trofi dunia buat kali kelima menerusi gandingan Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho.

Kini, selepas 24 tahun menanti gelaran keenam, Selecao sekali lagi hadir dengan misi untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dinikmati di Jepun dan Korea Selatan.

Hakikatnya, perjalanan Brazil menuju ke Amerika Utara jauh daripada sempurna.

Mereka bergelut dalam kempen kelayakan zon Amerika Selatan sehingga menamatkan saingan di tangga kelima, selain menyaksikan dua jurulatih kehilangan jawatan sebelum pelantikan Carlo Ancelotti.

Kehadiran pengendali berpengalaman dari Itali itu bagaimanapun dilihat mengubah wajah Brazil dalam tempoh singkat, sekali gus mengembalikan keyakinan pemain menjelang kejohanan terbesar dunia.

Alisson mengakui sentuhan Ancelotti membawa perubahan ketara terhadap suasana dalam kem pasukan.

Pertembungan menentang Maghribi pada aksi pertama Kumpulan C di Stadium MetLife, Ahad ini dijangka menjadi ujian sebenar kemampuan Brazil di bawah era baharu Ancelotti.

“Sejak Ancelotti datang, suasana pasukan berubah sepenuhnya. Kehadirannya sangat kuat dan beliau tidak terlalu memberi perhatian kepada perkara kontroversi.

“Perkara paling penting ialah bagaimana keadaan kami sekarang dan kami berharap dapat menterjemahkannya dengan keputusan positif menentang Maghribi,” katanya.

Perlawanan itu turut dianggap antara aksi paling menarik pada peringkat kumpulan apabila menemukan dua pasukan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, dengan Maghribi terus membawa reputasi sebagai pasukan Afrika paling konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selepas menentang Maghribi, Brazil akan berdepan Haiti sebelum melengkapkan saingan kumpulan bertemu Scotland dalam usaha memburu slot ke pusingan kalah mati.

Menariknya, kali terakhir Piala Dunia dianjurkan di Amerika Syarikat pada 1994, Brazil muncul juara dunia menerusi kemenangan ke atas Itali dalam penentuan penalti di Pasadena.-AGENSI

Scroll to Top