London: Penyerang Tottenham, Brennan Johnson, sah berpindah ke Crystal Palace pada Jumaat dengan yuran dilaporkan £35 juta (RM216 juta), menandatangani kontrak selama empat setengah tahun di Selhurst Park.
Pemain antarabangsa Wales berusia 24 tahun itu bakal membuat penampilan pertama menentang Newcastle di St James’ Park pada Ahad, selepas kehilangan tempat utama di Spurs di bawah Thomas Frank, walaupun menjadi penjaring terbanyak kelab musim lalu.
“Saya teruja dan gembira. Crystal Palace kelab yang hebat, yang sentiasa saya kagumi. Ini masa yang sesuai untuk saya menyertai perjalanan kelab ini,” kata Johnson, yang kini menjadi pemain perpindahan rekod Palace.
Pengurus Palace, Oliver Glasner, berkata pemain itu menjadi nilai tambah buat pasukan bagi mengharungi baki perlawanan Liga Perdana Inggeris kelak.
“Brennan akan memberikan kami lebih pilihan dalam serangan dengan kelajuan dan kemampuan menjaringkan golnya,” katanya.
Johnson menjaringkan 18 gol musim lalu dan turut meledak gol kemenangan di final Europa League menentang Manchester United, menamatkan penantian 17 tahun Tottenham untuk trofi. Namun, sejak Frank mengambil alih, dia menjadi pemain simpanan kepada Mohammed Kudus.
Perpindahan itu menjadi suntikan besar kepada Glasner, yang mengakui pasukannya kini dalam usaha untuk terus kekal selepas seri 1-1 dengan Fulham.
Palace kini berada di tangga ke-10 Liga Perdana dan bertekad memutuskan rekod enam perlawanan tanpa kemenangan ketika menentang Newcastle.
© New Straits Times Press (M) Bhd




