London: Pep Guardiola berkata kurang fokus kepada bola menjadi punca Manchester City gagal meraih tiga mata penuh apabila seri 2-2 di Brentford biarpun mendahului 2-0 pada satu ketika.
Dua gol Phil Foden meletakkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) berada di landasan untuk melakar kemenangan keempat berturut-turut selepas rentetan prestasi buruk apabila sekadar meraih satu kemenangan dalam 13 perlawanan.
Namun, kealpaan di barisan pertahanan dan kesukaran mengekalkan kelebihan menjadi penyebab mereka berdepan musim yang sukar bagi pasukan Guardiola.
Brentford mencipta peluang sepanjang perlawanan dan memanfaatkannya dalam 10 minit terakhir melalui Yoane Wissa dan Christian Norgaard untuk meraih satu mata berharga.
“Pengawalan bola yang baik dan ruang untuk kami untuk berlari tapi pada masa yang sama kami tidak buat keputusan yang betul.
“Pada masa yang sama mereka juga mempunyai peluang. Penyerang mereka sangat bagus, Wissa dan (Bryan) Mbeumo sangat berbahaya,” kata Guardiola.
City sekali lagi bermain tanpa pertahanan tengah yang cedera, Ruben Dias dan John Stones, manakala kapten Kyle Walker tidak dimasukkan dalam skuad Guardiola selepas menyatakan keinginannya untuk meninggalkan kelab ini bulan ini.
“Pada kedudukan 2-0, kami perlu menutup ruang, tetapi kami tidak mempunyai pemain yang boleh bertahan dengan baik di dalam kotak, jadi kami perlu melakukannya dengan mengawal bola.
“Keletihan menentang Brentford dalam 15 minit terakhir adalah normal. Bagi saya tiada apa yang perlu disesali. Pulihkan diri dan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” tambah Guardiola.
Satu mata itu meletakkan City kekal di tempat keenam kedudukan carta, dua mata di belakang empat pasukan teratas dan 12 mata di belakang pendahulu, Liverpool.
© New Straits Times Press (M) Bhd




