BRN tuntut hak perintah tiga wilayah

BRN tuntut hak perintah tiga wilayah

NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang merupakan kumpulan pemisah terbesar di Selatan Thailand mahu peme­rintahan sendiri secara menyeluruh di tiga wilayah bergolak.

Bagaimanapun, BRN tidak me­nuntut kuasa mutlak atau kemerdekaan, sebaliknya mahu pemerintahan berasaskan per­kongsian kuasa bagi mentadbir Narathiwat, Pattani dan Yala menjadi satu wilayah.

Jurucakap Pasukan Perun­ding BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, cadangan itu merangkumi tiga pihak berkuasa iaitu seorang pentadbir atau wali al-amri, majlis syura dan pentadbir sistem kehakiman syariah.

Katanya, wali al-amri yang dipilih rakyat mesti berasal dari tiga wilayah berkenaan, berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Ahli syura atau badan perundangan atau ahl al-hal wa­­l-aqd juga akan dipilih oleh rak­yat manakala yang ketiga adalah sistem kehakiman mah­kamah syariah.

“Ini bukan impian kosong tetapi kami akan mewujudkan sistem pemerintahan yang adil, membawa kemakmuran dan keamanan di wilayah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BRN tuntut hak perintah tiga wilayah
NIKMATULLAH SERI

Nikmatullah turut membangkitkan isu pengagihan hasil kekayaan sumber asli Pattani khususnya gas apabila Kerajaan Thailand dan Malaysia masing-masing menerima 50 peratus hasil gas yang diekstrak dari situ, sedangkan tiga wilayah berkenaan didakwa tidak memperoleh apa-apa.

Katanya, kekayaan sumber asli termasuk gas, minyak, emas dan hasil pertanian tidak dinikmati secara adil oleh ma­syarakat Pattani.

“Masalahnya adalah pe­ngagihan kekayaan yang tidak sama rata. Ia tidak adil. Orang Pattani dan masyarakat Pattani berada di pinggir pengagihan kekayaan,” ujarnya.

Beliau berkata, pada 1979, Kerajaan Thailand dan Malaysia mencapai persetujuan untuk berkongsi gas yang diekstrak dari Pattani dengan masing-masing menerima 50 peratus hasil.

“Tetapi apa yang orang Pattani dapat? Perjanjian itu (akan) tamat pada 2029. Pada hakikatnya, pengagihan kekayaan memerlukan persetujuan dan penyertaan daripada orang Pattani.

“Tetapi di bawah sistem tadbir urus Thailand, mengapa tanah dan rakyat kita menjadi yang paling miskin. Ke mana perginya semua kekayaan ini? Sumber asli kita, gas dan minyak kita, emas dan mineral kita,” soalnya.

Katanya, perjuangan BRN adalah bagi mengubah nasib rakyat serta membina masa depan yang lebih baik, makmur dan aman.

Dalam pada itu, Thailand masih memerlukan Malaysia sebagai fasilitator utama bagi menggerakkan semula Proses Dialog Damai Selatan Thailand termasuk membawa wakil Ke­rajaan Thailand dan BRN kembali ke meja rundingan.

Ketua Panel Dialog Da­mai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanut Suvarna­nanda berkata, rundingan antara kedua-dua pihak perlu terus diadakan di Kuala Lumpur dengan Malaysia berperanan memudah cara proses berkenaan.

Katanya, hubungan sejarah dan budaya merentasi sempadan menjadikan penglibatan Malaysia penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik Selatan Thailand.

“Ya, Thailand mahu Malaysia kekal sebagai fasilitator utama yang akan memudahkan proses dialog damai ber­kenaan. Hubungan sejarah dan budaya merentasi sempadan menjadikan penglibatan Malaysia penting.

“Bagaimanapun, Indonesia mungkin boleh turut serta sebagai penyokong atau konduktor di meja rundingan kerana pengalaman negara itu sendiri,” katanya.

THANUT SUVARNANANDA

Thanut berkata, Thailand masih menunggu pelantikan rasmi fasilitator baharu oleh Kerajaan Malaysia bagi menggantikan Datuk Mohd. ­Rabin Basir yang tamat tempoh per­khidmatan.

Katanya, rundingan akan datang memberi tumpuan kepada langkah mengurangkan keganasan, selain membuka jalan kepada kewujudan zon selamat di tiga wilayah ber­kenaan.

“Pengurangan pusat pe­meriksaan dan langkah kese­lamatan lain juga boleh dipertimbang di dalam zon selamat itu. Apa yang ada sekarang kadangkala mengganggu kehidupan seharian penduduk, terutama ketika perayaan.

“Bagaimanapun cadangan itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa Thailand termasuk tentera sebelum ia boleh dibawa ke meja rundingan,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top