Brugge bangkit ikat Atletico

Brugge bangkit ikat Atletico

Bruges, Belgium: Pemain sayap Greece, Christos Tzolis menjaringkan gol penyamaan lewat permainan untuk Club Brugge selepas Atletico Madrid dua kali mensia-siakan kelebihan pada perlawanan pertama play-off Liga Juara-Juara yang berakhir seri 3-3, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Diego Simeone mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, namun Brugge bangkit menyamakan kedudukan 2-2. Selepas gol sendiri membolehkan wakil Sepanyol itu kembali di hadapan, Tzolis memastikan pasukan tuan rumah meraih keputusan seri di Belgium.

Atletico, yang masih belum pernah menjuarai Liga Juara-Juara, ketinggalan jauh dalam saingan La Liga dan melihat kejohanan piala sebagai peluang terbaik untuk memenangi trofi musim ini.

Namun, kelemahan pertahanan mereka menyebabkan segala-galanya masih terbuka menjelang perlawanan timbal balik, Rabu depan, dengan slot ke pusingan 16 terbaik menjadi pertaruhan.

“Kami mendahului dua gol tetapi tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan kelebihan itu,” kata kapten Atletico, Koke, kepada Movistar.

“Ia seperti naik roller coaster, sama seperti sepanjang musim ini. Kami perlu lebih fokus.”

Simeone mengakui perlawanan itu mencabar menentang pasukan yang pernah seri 3-3 dengan Barcelona di peringkat liga.

“Ia perlawanan menentang mungkin pasukan paling intensif dalam Liga Juara-Juara,” katanya.

“Dalam konteks perlawanan, keputusan seri ini adil… kami akan beraksi di laman sendiri pada perlawanan kedua dan berharap dapat mempamerkan aksi terbaik.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top