Brundo, Kipre mahu buktikan kemampuan diri

Brundo, Kipre mahu buktikan kemampuan diri

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Bek tengah import Penang FC, Stefano Brundo menyifatkan persiapan pasukan menjelang aksi pembukaan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Bandaraya di sini esok berada pada tahap terbaik selepas melalui tempoh pramusim yang panjang dan berkualiti.

Pemain asal Argentina yang dijangka menggalas tugas sebagai kapten pasukan itu berkata, sesi latihan intensif, perlawanan persahabatan, aktiviti pembinaan serta pengukuhan pasukan banyak yang telah dijalankan banyak membantu membentuk keserasian skuad Harimau Kumbang.

“Sesi latihan berjalan lancar dan baik, kami juga banyak menang dalam perlawanan persahabatan tetapi yang paling penting adalah perlawanan sebenar dan kami sedar akan bertemu pasukan yang hebat.

“Namun kami mahu memulakan musim dengan semangat tinggi dan tetap ingin memastikan tiga mata menjadi milik Penang esok,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Jersi Baharu Penang FC di Kopa Arena, Universiti Sains Malaysia, lewat petang semalam.

Brundo yang sudah berada dalam kancah Liga Super selama tiga musim termasuk pernah menjadi kapten Sri Pahang FC menegaskan misi pasukannya adalah jelas iaitu memburu kemenangan pada masa yang sama berusaha mempamerkan gaya permainan yang memberi tekanan kepada lawan.

“Sasaran kami adalah untuk menang. Kami banyak berlatih untuk itu dan mahu menjadi pasukan yang memberi tekanan tinggi, merampas bola dan melakukan serangan balas dengan pantas.

“Macam rock and roll, anda tahu maksudnya. Jadi saya harap semua dapat melihatnya dan merasai betapa bersungguh-sungguh kami membuat persiapan untuk berdepan Liga Super musim ini,” katanya.

Brundo turut memuji corak latihan dan pendekatan kejurulatihan pengendali pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail yang disifatkannya sebagai mudah didekati dan mampu memberikan keyakinan kepada pemain mengenai keupayaan mereka menjadi pasukan dominan di atas padang.

“Kami mempunyai jangkaan tinggi, semua bersemangat untuk bermain dengan baik. Kami tahu Penang sentiasa menjadi pasukan yang menuntut banyak daripada pemainnya. Kami berharap dapat menunjukkannya esok dan sepanjang musim,” katanya.

Dalam pada itu, Tchetche Kipre, yang pernah menjadi penyerang sensasi Terengganu FC (TFC) selama dua musim, bertekad membuktikan kebolehannya kepada pasukan baharu yang memberi kepercayaan terhadap dirinya, meskipun ada pihak mempersoalkan kelincahannya beraksi pada usia 38 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top