BSN, CelcomDigi kerjasama tingkat kecekapan Ejen Bank

BSN, CelcomDigi kerjasama tingkat kecekapan Ejen Bank

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), mengumumkan kerjasama strategik selama lima tahun untuk mendigitalisasikan Ejen Bank BSN menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan pendigitalan BSN yang berterusan.

Di bawah kerjasama ini, CelcomDigi akan menyediakan infrastruktur dan penyelesaian sistem ejen perbankan yang komprehensif untuk memodenisasi dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan Ejen Bank BSN.

Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, Ejen Bank BSN adalah pemacu utama dalam mengembangkan akses kepada perkhidmatan kewangan, terutamanya dalam kalangan komuniti yang sukar mendapat perkhidmatan.

“BSN berbesar hati untuk bekerjasama dengan CelcomDigi dengan memanfaatkan teknologi dan infrastruktur yang lebih kukuh untuk meningkatkan lagi perkhidmatan Ejen Bank BSN.

“Ini juga selaras dengan aspirasi teras BSN untuk memajukan perbankan inklusif,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dengan sambungan Internet berkelajuan tinggi yang lebih pantas dan konsisten, Ejen Bank BSN akan dapat menyediakan perkhidmatan perbankan digital yang lebih mantap kepada pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, perbankan digital adalah teras kepada masyarakat digital.

“Kami teruja bekerjasama dengan BSN untuk mendigitalisasikan Ejen Bank dalam memenuhi cita-cita bersama kami yang mengutamakan keperluan pelanggan dan memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan.

“CelcomDigi amat komited untuk menyokong transformasi digital Ejen Bank yang membolehkan akses perkhidmatan perbankan yang lebih pantas dan lancar, menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam era digital ini.

“Kami berharap untuk meneroka lebih banyak inisiatif inovatif yang memanfaatkan teknologi 5G bersama BSN, sekaligus meletakkan BSN di barisan hadapan perbankan digital di Malaysia,” katanya.

Fasa pertama kerjasama ini akan melihat lebih daripada 2,300 Ejen Bank di seluruh negara dilengkapi penyelesaian sambungan CelcomDigi 5G serta peranti baru.

Ini termasuk sokongan teknikal khusus yang akan meningkatkan keupayaan bank ejen untuk menawarkan perkhidmatan perbankan moden dengan memanfaatkan rangkaian CelcomDigi yang terluas dan terpantas.

Di bawah perjanjian ini juga, CelcomDigi dan BSN akan bekerjasama dan meneroka lebih banyak peluang untuk meningkatkan infrastruktur sistem Ejen Bank dengan teknologi berkaitan 5G yang terkini, di samping memperluaskan portfolio produk dan perkhidmatan bank dengan perkhidmatan dan tawaran perbankan digital yang baru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top