Buah kabung laris setiap kali Ramadan

Buah kabung laris setiap kali Ramadan

am@hmetro.com.my

Pekan: Setiap kali Ramadan buah kabung akan muncul apabila dijadikan sebagai pencuci mulut ketika berbuka puasa.

Sebelum sedia dijadikan hidangan beberapa peringkat proses perlu dilakukan, bukan kerja mudah untuk disediakan kerana memerlukan kesabaran dan kepakaran bermula dengan kerja memanjat pokok tinggi untuk mengambil buahnya.

Bagi Rahim Usani Husin, 59, setiap kali Ramadan dia dan isterinya, Norhayati Mohd Shukur, 49, akan menghasilkan buah kabung sira bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurutnya, beberapa peringkat proses perlu dilakukan sebelum buah kabung boleh dimakan, antaranya memisah buah daripada tandan, merebus buah, mengeluarkan isi dan memasak.

“Buah kabung sira dan tidak disira boleh menyebabkan gatal tekak selepas dimakan sekiranya proses membuatnya tidak dilakukan dengan betul kerana selaput nipis berwarna kekuningan pada buah kabung terlebih dahulu perlu dibuang.

“Tanpa pengalaman dan kemahiran, buah kabung yang dihasilkan akan memudaratkan mereka yang memakannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Rumput dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, usaha mendapatkan buah kabung kini semakin sukar disebabkan beberapa faktor antaranya pembangunan, pokok kabung yang banyak tumbuh liar sepanjang Sungai Pahang kini semakin berkurangan berbanding 10 tahun lalu.

Rahim Usani berkata, permintaan terhadap buah kabung setiap hari bertambah, golongan dewasa dan warga emas lebih meminati buah berkenaan berbanding generasi muda.

Menurutnya, setiap hari dia mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram buah kabung sedia dijual pada harga RM6 hingga RM10 sebungkus mengikut berat.

“Saya akan terus berusaha menghasilkan buah kabung setiap kali Ramadan selagi permintaan terhadap produk berkenaan diterima dan buah kabung memang terkenal di daerah ini.

“Pokok kabung yang semakin berkurangan selain musim berbuah yang tidak menentu menjadi faktor utama aktiviti menghasilkan buah kabung setiap kali Ramadan kini terjejas.

“Buah kabung antara produk utama di daerah ini selain pisang, ubi kayu dan buah-buahan,” katanya yang turut bekerja sebagai nelayan sungai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top