Hokkaido, Jepun: Bagi peminat buah-buahan premium, Tembikai Yubari bukan sekadar pencuci mulut biasa, tetapi simbol kemewahan dan prestij yang meletakkan Jepun di peta dunia sebagai pengeluar buah paling mahal.
Pada pertengahan tahun lalu, dua tembikai Yubari terbaik berjaya dijual pada harga bidaan tertinggi mencecah satu juta yen (kira-kira RM30,000) kepada sebuah syarikat jualan produk tempatan dari bandar Otaru. Ia menerusi acara lelongan pertama musim buah itu untuk 20025 di Pasar Borong Pusat Sapporo.
Musim tembikai Yubari lazimnya antara akhir Mei dan awal Ogos, dengan tempoh kemuncaknya pada Jun dan Julai.
Menurut laporan The Japan Agricultural News, nilai bidaan tertinggi pada 2025 mencatatkan penurunan sebanyak dua juta yen berbanding rekod yang dicatatkan pada sesi lelongan tahun sebelumnya.
Tembikai Yubari cukup dikenali dengan isinya yang berwarna jingga terang, tekstur yang sangat lembut, berair, serta hampir tidak mempunyai urat serat yang kasar.
Keistimewaan ini meletakkannya sebagai antara produk terawal didaftarkan di bawah sistem perlindungan Petunjuk Geografi (GI) oleh Kementerian Pertanian Jepun. Ia bagi menjamin ketulenan buah ini.
Bagaimanapun, faktor cuaca tahun lalu memberikan sedikit cabaran kepada peladang di Hokkaido apabila jumlah penghantaran dicatatkan sedikit merosot berbanding tahun sebelumnya.
Laporan The Japan Agricultural News mendedahkan bahawa kekurangan cahaya matahari pada bulan April menyebabkan saiz buah ini bagi musim 2025 lebih kecil daripada biasa.
Namun, harganya yang luar biasa tetap membuktikan bahawa biarpun berdepan cabaran iklim, status tembikai Yubari sebagai “emas jingga” Hokkaido tetap tidak tergugat dalam pasaran buah-buahan mewah dunia.
Lelongan buah itu untuk musim 2026 dijangka diadakan di lokasi sama pada Jun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




