KANGAR: Dua penjawat awam dan seorang pemandu jengkaut menjadi Orang Kena Saman (OKS) pertama di negeri ini didenda dan diperintahkan melakukan khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuang sisa pepejal puntung rokok di tempat awam.
Ketiga-tiga OKS yang mengaku bersalah itu dihukum denda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama lapan jam dalam tempoh enam bulan.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid memerintahkan OKS dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan OKS pertama, Ahmad Nasri Mohammad Yusof, 47, didakwa telah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan dalam bekas disediakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di jeti Kuala Perlis pada pukul 4.40 petang, 2 Januari lalu.
Bagi pertuduhan melibatkan OKS kedua, Idzham Husin, 43, turut didakwa melakukan kesalahan sama di Dataran Sena Indah pada pukul 12.13 pagi pada 1 Januari lalu.
Pertuduhan ketiga, OKS dikenali sebagai Putra Che Ani, 59, didakwa membuang putung rokok di tempat awam berhadapan dengan BSN Kangar pada 15 Januari lalu sekitar pukul 4.11 petang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 77A (2) serta sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga OKS boleh di hukum denda tidak lebih RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Siti Adora Rahtimin, Nur Idayu Syazwani Mohd Arif, Mohd Iqram Ismail dan Mohd Fazli Janna.
Semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan berikutan masing-masing perlu menyara keluarga dan merupakan pertama kali melakukan kesalahan.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda setimpal sebagai bentuk pencegahan dan hukuman khidmat masyarakat sebagai satu bentuk pemulihan.-UTUSAN




