Buat Kemunculan Istimewa Dalam Filem Keajaiban Air Mata Wanita, Prof Dr Muhaya Mahu Cari ‘Pencen Kubur’

Buat Kemunculan Istimewa Dalam Filem Keajaiban Air Mata Wanita, Prof Dr Muhaya Mahu Cari ‘Pencen Kubur’

“Saya tak ambil masa yang lama untuk bersetuju dengan tawaran untuk membuat kemunculan istimewa dalam filem Keajaiban Air Mata Wanita.”

Demikian kata-kata pakar motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad yang bakal muncul dalam filem terbitan Indonesia yang bakal ditayangkan di Malaysia sempena Aidiladha akan datang.

Menampilkan lakonan hebat Citra Kirana, Rezky Aditya dan Natasha Rizky, filem Keajaiban Air Mata Wanita sudah ditayangkan di Indonesia pada 23 Januari lalu dan meraih kutipan yang cukup memberangsangkan.

Diangkat daripada kisah benar yang turut dimuatkan dalam buku bestseller ‘Rahasia Magnet Rezeki’ karya Pak Nasrullah, filem ini membawa mesej tentang kekuatan doa, kesabaran serta harapan dalam mendepani dugaan hidup.

Menurut Dr Muhaya, hatinya tersentuh dengan mesej mendalam dan naratif filem tersebut yang sejajar dengan matlamat hidupnya, iaitu mengajak masyarakat kembali kepada Tuhan.

“Saya apa sahaja yang bawa orang kepada Allah, saya sokong. Tiada keraguan langsung. Pada saya, ini satu peluang kerana misi hidup saya adalah untuk mencari ‘pencen kubur’ seperti memperoleh ilmu yang bermanfaat, menjadi anak soleh serta bersedekah.

“Bayangkan jika filem ini ditayangkan di seluruh dunia, saya dapat pencen akhirat. Walaupun mungkin pembabitan saya hanya tiga minit, tetapi itulah saham saya nanti,” katanya.

Pengalaman menyaksikan tayangan awal filem berkenaan baru-baru ini cukup menyentuh perasaan Dr Muhaya, apatah lagi satu babak dalam filem itu membawa kembali kenangan tragis yang pernah dilaluinya.

“Masya-Allah, bila tengok salah satu adegan ketika seorang ibu sedang sibuk masukkan barang ke dalam kereta, kemudian tanpa disedari anaknya yang berada dalam kereta sorong dilanggar sebuah kereta, saya terus teringat kejadian hampir sama yang berlaku kepada saya.

“Anak saya meninggal dunia pada tahun 2000 ketika saya membawanya membeli barang. Ketika kejadian, saya sedang masukkan barang ke dalam kereta, tiba-tiba satu-satunya anak lelaki saya jatuh.

“Saya cuba buat bantuan pernafasan (CPR), tapi meninggal walaupun saya seorang doktor. Jadi apabila menonton babak itu, saya pun menangis. Kebetulan Neelofa berada di sebelah saya, dia nampak saya menangis dan cuba tenangkan saya kerana dia tahu kisah saya ini dan ia dekat dengan saya,” ujarnya.

Keajaiban Air Mata Wanita mengisahkan tentang Kiki, seorang wanita tabah yang hidupnya berubah sepenuhnya selepas kematian suaminya, Ronald. Dari kehidupan yang stabil, Kiki terjerumus ke dalam kesusahan kerana berdepan dengan tekanan kewangan, kehilangan pekerjaan selepas berhijab, serta pergolakan keluarga yang mengancam hak penjagaan terhadap anak tunggalnya, Bunga.

Di saat hidupnya dirundung kesedihan dan keputusasaan, Kiki dipertemukan dengan sahabatnya Rahma, yang memperkenalkannya kepada ilmu Magnet Rezeki, satu pendekatan spiritual yang menekankan kuasa doa dan pemikiran positif. Dengan tekad untuk bangkit semula, Kiki perlahan-lahan menyelesaikan satu demi satu masalah dalam hidupnya.

Scroll to Top