Buat kerja dengan ikhlas

Buat kerja dengan ikhlas

am@hmetro.com.my

HAMPIR dua dekad berkecimpung dalam bidang lakonan, nama pelakon popular, Remy Ishak kekal relevan di persada seni tanah air.

Malah, pelakon kacak yang juga bapa seorang cahaya mata lelaki berusia setahun bernama Tuah Alam masih menjadi pilihan penerbit, selain dianggap pelaris naskhah drama dan filem terbabit.

Secara peribadi, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak mengakui bersyukur dirinya masih dianggap pelaris naskhah oleh penerbit pada usia 42 tahun.

“Alhamdulillah, kalau ada orang anggap saya pelaris naskhah. Kalau ada tanggapan macam itu, syukurlah.

“Sebenarnya, saya tidak pernah fikir pun atau meletakkan diri sebegitu.

“Saya hanya berlakon sahaja dan buat kerja sebagai anak seni dengan ikhlas dari dulu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis tayangan drama The Secret baru-baru ini.

Remy berganding semula dengan pelakon jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Siti Saleha dalam drama bersiri penyiasatan di Viu arahan Jason Chong.

Membawakan watak pensyarah di universiti iaitu Amir dan Siti Saleha pula watak Johanna.

“Saya banyak babak dengan Siti Saleha yang melakonkan watak pensyarah, Johanna dalam cerita ini.

“Paling sukar meyakinkan orang yang saya seorang pensyarah dalam cerita ini kerana ia bukan bidang saya dalam realiti.

“Saya suka jalan ceritanya di mana watak Amir nampak baik di mata pelajar, tapi hakikatnya dia juga ada konflik dalam rumah tangga,” katanya.

Mengenai wataknya lagi, kata Remy, dia pernah bekerja dengan Jason dan sudah tahu caranya bekerja sebelum ini.

“Pada mulanya, saya agak skeptikal bila ditawarkan untuk berlakon dalam siri ini kerana penonton kita lebih suka cerita hantu dan seram.

“Saya juga risau terima tawaran kerana memikirkan sama ada cerita macam The Secret ini ada orang nak tengok ke bila tayang nanti?

“Namun, selepas itu, saya berfikir semula kenapa tidak mahu terbabit dalam projek yang ada misi untuk masyarakat?

“Seperti kenyataan dari pihak Viu, secara kebetulan, isu rogol, bunuh diri dan buli siber heboh diperkatakan ramai ketika ini.

“Justeru, saya berasa ini tanggungjawab sebagai pelakon, selain menyajikan bahan hiburan sekurang-kurangnya, saya terbabit dalam projek untuk beri kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya pandangan mengenai barisan pelakon baharu dalam siri The Secret pula, kata Remy, dia kagum dengan bakat lakonan mereka.

“Saya belum pernah bekerja dengan barisan pelakon baharu dalam siri The Secret ini, tapi pada pemerhatian saya, mereka bukanlah pempengaruh, sebaliknya bakat yang boleh diketengahkan dalam industri seni.

“Semua pelakon baharu dalam siri ini berjaya beri yang terbaik. Saya percaya, pihak produksi pilih bakat muda yang tepat untuk watak masing-masing.

“Saya seronok berbual dengan mereka yang sangat terbuka dan memiliki tenaga yang tinggi,” katanya.

Ditanya sama ada pelakon muda ada yang meminta tunjuk ajar darinya di lokasi penggambaran siri itu, kata Remy, mereka ada datang berjumpa dengannya untuk meminta tips dalam bidang lakonan.

“Saya tidak ajar mereka berlakon tapi ada beri tips sahaja kerana zaman saya mula berlakon dulu berbeza dengan situasi sekarang.

“Apa yang penting, mereka kena ikhlas untuk ceburi bidang lakonan,” katanya.

Sementara itu, The Secret menyentuh isu sensitif seperti buli siber, bunuh diri dan rogol yang jarang diangkat secara serius dalam naskhah sebelum ini.

Selain Remy dan Siti Saleha, drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, pelakon muda, Sarah Mack Lubis, Ellyza Azizi, Ucop Hashim, Amir Nafis dan Lorenzo Irmann.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top