Suami kepada pelakon Fatin Afeefa mengundang kemarahan orang ramai selepas tular video memaparkan lelaki itu membuat lawak kononnya dijangkiti cacar monyet (monkeypox).
Dalam video yang dikongsikan akaun TikTok @zocketzz, Aliff yang lebih dikenali sebagai Opai dilihat memakai pelitup muka sebagai tanda menunjukkan dirinya tidak sihat.
Buat sesiapa yang kenal saya dan berjumpa dengan saya sejak 2,3 hari lepas ni. Saya sarankan korang semua pergi check sekiranya anda semua positiflah. Rasanya saya terkena monkeypox pertama di Malaysia. Saya minta maaf atas segala kesulitan yang terjadi. Tapi siapa yang bertemu dengan saya 2,3 hari ni pergi buat testlah.
Di akhir video, Opai membuka pelitup muka dan mengenakan filter ‘monyet’ sambil ketawa terbahak-bahak.

Di ruangan komen, orang ramai menyatakan isu kesihatan seperti itu tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak.

Tambahan pula kini penyakit cacar monyet menjadi kebimbangan di rantau Afrika, Thailand serta Indonesia.
Mengenai perkembangan penyakit cacar monyet di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baharu dilaporkan.
Lapor Berita Harian, jumlah keseluruhan mpox yang disahkan di negara ini kekal sembilan kes iaitu kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama.





