‘Buat permohonan maaf secara telus, akui kesilapan’

‘Buat permohonan maaf secara telus, akui kesilapan’

KUALA TERENGGANU – Pemuda UMNO, PKR dan Amanah Terengganu menyifatkan permohonan maaf dibuat Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataan didakwa menghina sahabat Rasulullah SAW sebagai tidak telus dan mempunyai percanggahan.

​Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pihaknya bersama dua rakan gabungan tampil membuat laporan polis bagi menuntut siasatan menyeluruh berhubung ucapan yang dianggap biadap dan memesongkan fakta sejarah Islam itu.

​Menurutnya, walaupun dimaklumkan mengenai permohonan maaf tersebut, beliau tetap gusar kerana pemimpin berkenaan dilihat masih berkeras mempertahankan kenyataannya.

​”Sebagai anak jati Terengganu, kami anak muda berasa bertanggungjawab mempertahankan tanah watan kerana ucapan tersebut dibuat di negeri ini. Ia sangat biadap kerana melibatkan penghinaan terhadap Khulafa al-Rasyidin.

​”Kenyataan itu jelas lari daripada fakta sebenar, malah bagi saya ia merupakan satu fitnah terhadap para sahabat yang sangat disayangi ALLAH SWT.

“Sehingga 20 jam yang lalu, beliau masih berkeras mempertahankan apa yang disampaikan dalam ceramah politiknya. Isu ini tidak sepatutnya dijadikan pertaruhan perasaan umat Islam dan rakyat Terengganu kerana ia melibatkan imej Islam,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, pada petang Rabu.

​Mengulas lanjut mengenai permohonan maaf tersebut, Tengku Haphiz berkata, beliau terkejut apabila Nik Zawawi menyebut terdapat rakan-rakan yang menyokong kenyataan itu selain ada yang menegur tetapi tidak membantah.

​”Persoalannya, siapakah dalam kalangan rakan beliau yang bersekongkol dan bersetuju dengan kenyataan itu? Sebagai Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, beliau sepatutnya memahami adab ilmu.

​”Kami dapati ada beberapa perkara yang kontradik (bercanggah) dengan frasa kemaafan yang digunakan. Justeru, kami serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” tegasnya.

Kontroversi sebelum ini tercetus selepas tersebar sedutan ucapan bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu dalam satu ceramah yang dianggap menghina sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.

​Tengku Haphiz berkata, kenyataan sedemikian amat tidak bertanggungjawab dan boleh ditafsirkan sebagai satu penghinaan terhadap tokoh agung Islam yang mampu mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

​”Pandangan kami anak muda Terengganu mudah, beliau sepatutnya memohon maaf dan mengakui kenyataan itu silap.

“Mungkin kami bukan ulama, tetapi kenyataan beliau itu menampakkan kejahilan dalam bab sirah Nabawiyah,” katanya.

​Sehubungan itu, beliau memohon pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memelihara kesucian agama Islam.

Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf susulan kontroversi membabitkan pengucapannya yang tular.

Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan berkenaan.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat sebelum ini sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan ALLAH SWT.

Jelasnya, tujuan asal kenyataan itu hanyalah untuk menjelaskan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu berkenaan dan menegaskan itu adalah kekhilafan peribadi yang tidak berkaitan dengan pendirian Pas atau kepimpinannya.

Scroll to Top